Anda di sini

KL akan siasat salah laku pembentukan Kerajaan Sabah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan akan menyiasat jika terdapat sebarang salah laku dalam pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata ada bukti berlakunya manipulasi dan penggunaan wang untuk menyertai.

TUN Dr Mahathir
TUN Dr Mahathir

"Anda akan dapati ada orang yang lompat parti jika mereka mahu atas sebab prinsip tetapi jika mereka dibeli, kami  tidak akan mengiktiraf itu sebagai cara bertukar parti yang betul.  

"Kami akan siasat. Jika kami dapati ada elemen rasauh dan wang dibayar kepada mana-mana menteri atau orang lain untuk menyertai, kami anggap ini sebagai rasuah," katanya pada sidang media di sini.

Dr Mahathir berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat seolah-olah menutup mata  terhadap amalan rasuah sepanjang pilihan raya dan siasatan sewajarnya perlu dilaksanakan untuk menangani isu itu.

"Kami akan lakukan siasatan sewajarnya terhadap semua perkara ini kerana kami mahu mematuhi kedaulatan undang-undang.

"Kami bukan membalas dendam tetapi terdapat banyak kegagalan di mana kami dapati ada orang menggunakan wang untuk membeli sokongan, itu juga dianggap sebagai rasuah sama seperti membeli anggota-anggota parti untuk memperoleh majoriti," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan memohon bagi penyiasatan dilakukan sekiranya ada bukti bahawa ada individu memenangi pilihan raya secara rasuah dan akan mengisytiharkan pemilihan itu sebagai tidak sah.-Bernama.

Advertisement