Anda di sini

SUKMA: 190 atlet Sarawak menjalani ujian kecergasan

Advertisement
 Peserta ketika menjalani ujian kecergasan di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching pada 5 dan 6 Mei lalu.
UJIAN: Peserta ketika menjalani ujian kecergasan di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching pada 5 dan 6 Mei lalu.

KUCHING: Institut Sukan Negara (ISN) Zon Sarawak dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) telah menganjurkan Sesi Ujian Kecergasan Atlet Elit SUKMA Sarawak Siri ke-3 pada 5 dan 6 Mei lalu.

Kira-kira 190 atlet diuji pada sesi ujian tersebut diadakan di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini.

Ketua ISN Zon Sarawak, Joshua Philip memberitahu sesi ujian itu untuk menguji tahap kecergasan atlet-atlet elit SUKMA Sarawak bagi persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA 2018) di Perak.

Menurutnya, ISN Zon Sarawak mengambil initiatif bagi membantu menilai tahap kecergasan atlet-atlet elit SUKMA Sarawak yang bakal bertanding pada temasya dwitahunan pada September nanti.

“Penilaian tahap kecergasan atau fizikal atlet-atlet adalah amat penting dengan menilai tahap atau status semasa mereka agar atlet-atlet terbabit berada di tahap baik apabila bersaing dengan atlet-atlet negeri lain dan bebas daripada kecederaan serius.

“ISN Zon Sarawak mula beroperasi sejak 2007 bekerjasama dengan MSN Sarawak dan banyak membantu melahirkan atlet-atlet berprestasi tinggi negeri ke peringkat kebangsaan melalui pendedahan atau aplikasi saintifik sains sukan dalam bidang fisiologi senam, pemakanan sukan, psikologi sukan dan suaian fizikal di peringkat pembangunan atau akar umbi,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini ISN melancarkan Pusat Latihan Talent Outreach di Siburan, Sarawak menumpukan khususnya kepada sukan olahraga bagi melahirkan pelapis-pelapis baharu negeri.

Fasa-fasa ujian melalui siri 1 dan siri 2 manakala siri terakhir diadakan selepas hari raya aidilfitri nanti.

Advertisement