Anda di sini

Pewujudan nilai pemegang saham kekal keutamaan TNB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan terus menjadikan pewujudan nilai pemegang saham sebagai keutamaan dalam perniagaannya, disokong oleh landskap industri yang stabil yang dipermudahkan menerusi rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) dan mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT).

 Sejak pelaksanaan pertamanya pada Mac 2015, ICPT secara konsisten telah mengimbangi TNB daripada kesan turun naik kos penjanaan dan harga bahan api, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

Tempoh kawal selia pertama berakhir pada Disember 2017, di mana semasa itu kerajaan meluluskan tujuh kitaran pelaksanaan ICPT.

Bagi tempoh kawal selia semasa (2018-2020), kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar sedia ada dalam jadual tarif daripada tempoh kawal selia pertama, dengan rebat ICPT dikekalkan pada 1.52 sen/kWj bagi tempoh pelaksanaan ICPT dari 1 Jan hingga 30 Jun, 2018.

“Termasuk dalam kadar-kadar ini adalah elaun modal baharu bagi TNB untuk melabur bagi menambah baik lagi dan memodenkan grid kita.

“(Justeru), kami terus menjadikan pewujudan nilai pemegang saham sebagai keutamaan bagi perniagaan kami. Kami bangga semasa tempoh empat bulan kajian semula, prestasi kami mengekalkan pewujudan nilai bagi anda, pemegang saham kami, menyediakan jumlah pulangan pemegang saham 6.7 peratus dalam tempoh kewangan empat bulan yang berakhir 31 Dis, 2017,” kata Azman dalam laporan tahunan interim (IAR) syarikat itu yang dikeluarkan baru-baru ini.  

IAR, yang dikeluarkan berikutan perubahan pengakhiran tahun kewangan TNB dari 31 Ogos kepada 31 Dis, adalah bagi tempoh dari 1 Sept, 2017 kepada 31 Dis, 2017.

Kemudiannya tahun kewangan akan balik kepada 12 bulan yang berakhir pada 31 Dis.

Beliau berkata pihak pengurusan gembira mencapai pulangan pemegang saham bagi memastikan penyediaan sistem elektrik di Malaysia setanding  dengan sistem yang mencatatkan prestasi terbaik.

 “Prestasi industri elektrik kita diperkukuhkan lagi dengan Malaysia disenaraikan di kedudukan kelapan dalam laporan ‘Getting Electricity in the World Bank’s Doing Business 2018 Report’ (Menyediakan bekalan elektrik dalam laporan menjalankan perniagaan Bank Dunia 2018).

“Pencapaian ini jelas menunjukkan nilai yang kami sediakan kepada anda, pemegang saham kami, serta dalam meningkatkan landskap tenaga,” katanya.  

Mengenai prospek masa depan, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata industri tenaga masih kekal menarik berikutan perkembangan pesat dalam landskap kawal selia serta trend pengguna dan tenaga.  

“Dalam keadaan ini, kami yakin pelan strategik 10 tahun kami, yang dilancarkan tahun lepas, telah memperkenalkan langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan pertumbuhan dan kemampanan bagi TNB,” katanya.

Moggie berkata, syarikat utiliti itu yakin tempoh kawal selia akan datang akan terus menyokong asas-asas syarikat tersebut di samping memastikan penyediaan nilai yang berterusan bagi pemegang saham dan semua pemegang kepentingan lain. — Bernama

Advertisement