Anda di sini

Keputusan pilihan raya ke-14 mengejutkan

Advertisement
MUIS dan Hamisa kini mewakili legasi BN Kalabakan untuk meneruskan agenda perjuangan mereka untuk rakyat sebagai Adun.
MUIS dan Hamisa kini mewakili legasi BN Kalabakan untuk meneruskan agenda perjuangan mereka untuk rakyat sebagai Adun.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Datuk Abdul Muis Picho melihat keputusan pilihan raya kali ini sebagai mengejutkan.

Khususnya, apabila penyandang kerusi Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh tewas kepada calon Warisan, Ma’mun Sulaiman.

“Kita rasa terkejut, namun pilihan raya ini kita nampak masih banyak kelemahan yang selama ini mungkin kita terlepas pandang,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Beliau berkata kehilangan dua kerusi utama, Parlimen Kalabakan dan DUN Merotai, menjadikan Umno dan BN Kalabakan perlu memperbaiki segera kelemahan yang ada.

Menurutnya, usaha itu perlu dilakukan untuk memastikan BN berupaya merampas kembali kedua-dua kerusi terbabit yang kini dikuasai oleh Warisan.

“Mengenai pengundi muda, memang kita ada bincang di Umno Kalabakan, yang kita kena lihat lebih 8,000 pengundi baharu kerana dikhuatiri kesannya kalau kita tidak beri perhatian kepada mereka.

“Memang suatu hari nanti kita akan nampak kesannya dan hari ini kita nampak sendiri kenyataaannya (kesannya) yang berlaku,” katanya.

Menyentuh kejayaannya mempertahankan kerusi DUN Sebatik pula, Muis berkata walaupun menang tipis, namun semua agenda yang sudah dirancang akan diteruskan.

Sementara itu, Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat menyifatkan kekalahan dua kerusi dan menurunnya majoriti yang diperolehi kemungkinan berkaitan situasi semasa di Semenanjung.

“Keputusan ini di tangan rakyat dan mereka sudah buat keputusan, malah memang pada PRU (nasib) kita akan kembali ditentukan oleh rakyat dan rakyat sudah gunakan hak mereka.

“Terpulang kepada rakyat untuk menentukan, namun saya berterima kasih kepada pengundi yang masih mengundi BN, amanah ini akan saya pikul,” katanya.

Ditanya berhubung perancangan masa hadapannya jika beliau akan kembali bertanding dalam Jawatankuasa Umno Bahagian, beliau sekadar menjawab belum memikirnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement