Anda di sini

Sabah berkembang lebih pantas berbanding Semenanjung Malaysia

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah kini berkembang pesat dengan lebih pantas berbanding pembangunan di Semenanjung Malaysia.

Ketua Setiausaha Perbendaraan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pembangunan ini penting untuk diteruskan bagi kesejahtaraan rakyat Sabah.

"Banyak fitnah yang ditaburkan pembangkang kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara yang dikatakan bankrap.

"Semuanya salah...salah belaka kerana sebagai ketua dalam kementerian kewangan, saya  tahu tentang kekukuhan kewangan kita," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Dewan Masyarakat Inanam, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan kini mempunyai kewangan kukuh dan boleh dibuktikan dengan penambahan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM400 kepada RM800 pada Jun ini dan RM450 kepada RM800 pada Ogos depan.

Katanya, ekonomi negara kukuh disebabkan harga minyak dunia naik daripada 52 dollar AS per barrel kepada 72 dollar AS per barrel.

"Kini kita mempunyai lebihan 20 dollar dan ini kita bagi balik kepada rakyat kerana rakyat beri sokongan padu dan itulah yang penting...kalau ekonomi tidak kukuh bagaimana bagi balik wang kepada rakyat.

IRWAN menyempurnakan upacara perasmian majlis pecah tanah itu.
IRWAN menyempurnakan upacara perasmian majlis pecah tanah itu.

"Itulah pertanyaan saya kepada pembangkang yang selalu kutuk negara nak bankrap," katanya.

Menurutnya, rakyat negara ini lebih cenderung untuk percaya kepada fitnah yang ditaburkan pembangkang.

Katanya, orang selalu ingin mendengar dari media alternatif, oleh  itu satu usaha menapis maklumat salah harus dilakukan.

"Sebab itu kita harus baca blog dari Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang semuanya ditulis benar-benar belaka.

"Sebab itu hari ini saya berdiri di sini bagi tahu yang benar...yang benar...yang benar, tidak ada yang fake...macam hari-hari ditaburkan fitnah.

"Pemberian BR1M dikatakan dedak, adakah kita ditaburkan dedak? saya tanya penduduk Inanam ini...ia bukan dedak kerana ia untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya, beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan dan bukannya orang politik bertanggungjawab menyampaikan berita benar kepada rakyat di seluruh negara khususnya kawasan pedalaman.

Beliau turut berharap pembinaan dewan baharu itu akan disiapkan tempat pada masanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Mayor DBKK Datuk Yeo Boon Hai, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Datuk Johnny Goh, calon BN DUN Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement