Anda di sini

Siap sedia hadapi serangan saat akhir pembangkang: TPM

Advertisement

BAGAN DATUK: Berbaki kurang 48 jam untuk berkempen, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar jentera Barisan Nasional (BN) bersiap sedia berdepan ‘serangan’ mengejut saat akhir daripada pembangkang selain memanfaatkan tempoh itu untuk meraih sokongan di peringkat akar umbi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau terhidu sesuatu yang disembunyikan pembangkang apabila tempoh kempen memasuki hari kesembilan semalam.

“Apa sahaja boleh berlaku di kedua-dua pihak, baik pembangkang atau BN dalam tempoh 48 jam berbaki.

“Jangan menoleh ke belakang atau memandang kiri dan kanan, bagi sampai ke garisan penamat. Kalau kita bekerja bersungguh-sungguh dan bijaksana untuk memenangi minda dan hati rakyat, mereka akan terus bersama BN.

“Semua petugas perlu menemui pengundi... Selain tumpu kepada pengundi tegar (BN) kita perlu dapat pengundi atas pagar dan ia adalah satu bonus kepada BN,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri program bersama masyarakat India, anjuran MyPPP di sini semalam.

Ahmad Zahid juga menyarankan semua jentera BN baik Jalinan Rakyat (JR) Plus, Pemuda, Puteri, media sosial dan jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu meningkatkan usaha kerana ini adalah pusingan terakhir sebelum sampai ke garisan penamat iaitu 12 tengah malam pada 8 Mei ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata antara pendekatan BN adalah untuk berkempen dalam kumpulan kecil, secara bersemuka dan juga melalui media konvensional dan online.

Katanya pembangkang gemar melancarkan serangan saat-saat akhir dengan pelbagai fitnah dan pembohongan.

“Tunggu tindakan yang akan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Polis Diraja Malaysia... Ini bukan satu amaran tetapi tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yakin pengundi atas pagar adalah bersama BN dalam PRU14.

“Kita tidak pandai kutuk orang. Kita tidak pandai melakukan serangan peribadi... Biarlah kita menang dengan bergaya dan baik,” katanya. — Bernama

Advertisement