Anda di sini

Dr M dihalang ziarah kubur Nik Abdul Aziz

Advertisement
 Dr Mahathir berucap pada Program Santai Bersama Tun M di Taman Anggerik depan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas semalam. — Gambar Bernama
BERUCAP: Dr Mahathir berucap pada Program Santai Bersama Tun M di Taman Anggerik depan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Rancangan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menziarahi kubur Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka di sini semalam, terbantut apabila dihalang keluarga bekas Mursyidul Am PAS itu.

Bermula kira-kira jam 9 pagi, anak Allahyarham, Nik Adli bersama anggota keluarga serta sekumpulan penyokong PAS bertindak mengunci pagar tanah perkuburan tersebut.

Pintu laluan masuk ke tanah perkuburan itu juga dihalang menggunakan sebuah lori.

Turut hadir di tanah perkuburan berkenaan adalah calon PAS Kota Anggerik yang juga anak saudara Allahyarham iaitu Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Dusuki berkata beliau kembali ke Kelantan kerana isu kekeluargaan seperti ini dan tidak mahu keluarga ini dipecahbelahkan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu.

Ahmad Dusuki berkata mereka tidak mahu keluarga Allahyarham berpecah sebaliknya mahu mereka berada dalam satu kesatuan sahaja.

“Kita tidak mahu berlaku perpecahan dalam keluarga ini...cukuplah selama ini dan tak mahu orang luar terbabit sama melakukan perpecahan. Kami tidak mahu timbul polemik yang menyebabkan keresahan di dalam masyarakat,” katanya.

Ahmad Dusuki berkata pihaknya tidak mahu legasi Allahyarham mempertahankan bumi Kelantan yang dibangunkan oleh bekas menteri besar Kelantan itu selama ini dikhianati.

“Apa yang kami minta adalah supaya keluarga ini tidak dirosakkan dan menjadi contoh yang baik. Tok guru sudah tanamkan asas Islam yang baik dan bila sudah diasaskan dengan baik tiba-tiba ada pihak yang cuba membawa unsur yang tidak baik...kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Dr Mahathir kini berada di Kelantan dalam program bersama rakyat termasuk di Parlimen Ketereh dan Kota Bharu.

Sempena lawatan tersebut beliau merancang untuk menziarahi kubur Nik Abdul Aziz namun tidak kesampaian. — Bernama

Advertisement