Anda di sini

Liverpool dan Real Madrid tentukan ‘Raja Eropah’ di Kiev

Advertisement
 Klopp (tengah) meraikan kejayaan Liverpool memenangi perlawanan menentang AS Roma sekali gus melangkah ke final Liga Juara-Juara untuk bertemu dengan Real Madrid. — Gambar Reuters
GEMBIRA: Klopp (tengah) meraikan kejayaan Liverpool memenangi perlawanan menentang AS Roma sekali gus melangkah ke final Liga Juara-Juara untuk bertemu dengan Real Madrid. — Gambar Reuters

ROM, Itali: Liverpool menangani kebangkitan bersemangat AS Roma untuk melangkah ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan 7-6 secara agregat selepas perlawanan separuh akhir kedua di sini Rabu lepas.

Liverpool, yang dibimbing Jurgen Klopp, akan menentang juara bertahan, Real Madrid di Kiev pada 26 Mei selepas layak ke final yang kelapan mereka dalam Piala Eropah dan yang pertama sejak 2007.

Liverpool tewas 2-4 Rabu lepas tetapi mereka tidak kelihatan dalam bahaya mengalami nasib yang sama seperti Barcelona di suku akhir.

Gol separuh masa pertama oleh Sadio Mane dan Georginio Wijnaldum meletakkan Liverpool selesa di hadapan ketika Roma bolos gol pertama mereka dalam pertandingan ini di Stadio Olimpico.

Walaupun Radja Nainggolan menjaringkan dua gol untuk Roma pada lapan minit terakhir – gol kedua dari tendangan penalti – tiada kebangkitan luar biasa kedua Roma selepas menewaskan Barcelona 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 4-4.

Ia satu lagi kekalahan mengecewakan buat Roma, yang tewas di final Piala Eropah 1984 menerusi penentuan tendangan penalti kepada Liverpool di stadium yang sama.

“Ia adalah kali pertama kami tidak sebagus yang kami mahukan. Kami memerlukan tuah dan ia adalah apa yang kami perolehi,” kata Klopp.

“Agregat 7-6 kelihatan gila kerana ia memang gila. Kami datang sebagai pemain kelayakan dan sekarang kami ke final dan akan ke Kiev.

“Roma pasukan yang kuat, kami mahukan apa yang kami fikirkan kerana mereka akan menyerang dari sepak mula dan kemudian kami mendahului 2-1, saya fikir kami mengawal takdir kami sendiri.

“Tetapi apa pun, kami tidak melakukan serangan balas seperti yang kami mahukan, menggunakan ruang yang diberikan dan kami hilang rentak selepas mendahului 1-0.”

Klopp berkata beliau yakin Liverpool boleh mengancam Real Madrid, juara 12 kali kejohanan di final nanti.

“Kami harus bermain lebih baik berbanding malam ini, berita baiknya ialah kami boleh bermain dengan lebih baik lagi,” kata beliau.

Roma mengancam awam dengan cubaan Alessandro Florenzi tersasar pada minit pertama tetapi pasukan tuan rumah menerima padah kerana pertahanan rapuh, membolehkan Liverpool menambah kelebihan awal apabila Mane membuka jaringan seawal minit kesembilan dari kesilapan Nainggolan, membolehkan Roberto Firmino merampas bola sebelum mengumpan kepada Mane untuk menewaskan penjaga gol Alisson.

Tetapi enam minit kemudian, Roma mengikat kedudukan dari gol sendiri pertahanan Liverpool, James Milner ketika cuba menghalang tandukan Stephan El Shaarawy.

Namun tempat Liverpool ke final sudah kelihatan terjamin apabila Wijnaldum menjadikan kedudukan 2-1 dari satu tendangan sudut.

Dzeko mengikat kedudukan tujuh minit selepas rehat untuk gol kelapan dari 12 perlawanan di Eropah sebelum Nainggolan menebus kesilapannya dengan menjaringkan dua gol.

Ia penamat mengecewakan buat Roma, yang dibimbing Eusebio di Francesco kerana usaha memburu gol kelima tidak kesampaian.

“Kami sudah berkembang dari pengalaman ini tetapi saya berasa kesal kerana pasukan ini seharusnya lebih percaya dengan peluang mereka seperti yang saya lakukan dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol,” kata Di Francesco. — AFP

Advertisement