Anda di sini

Fergus juara kategori terbuka Pertandingan Catur Terbuka Swinburne

Advertisement
 Dr Rauf (empat kiri) dan Wilson (tiga kiri) merakamkan kenangan dengan para pemenang setiap kategori.
TAHNIAH: Dr Rauf (empat kiri) dan Wilson (tiga kiri) merakamkan kenangan dengan para pemenang setiap kategori.

KUCHING: Fergus Lim See Siang, 15, muncul juara kategori terbuka pada Pertandingan Catur Terbuka Swinburne sempena Karnival Swinburne di kampus universiti itu, hujung minggu lepas.

Fergus yang menuntut di SM Lodge dan mula bermain catur pada usia 10 tahun meraih hadiah wang tunai RM300.

Pertandingan julung kali itu dianjurkan bersama Kelab Catur Swinburne Sarawak dan Persatuan Catur Sarawak.

Ia menarik kira-kira 60 peserta yang bertanding dalam enam kategori iaitu terbuka, veteran, wanita, kakitangan Swinburne, pelajar Swinburne dan Bawah 15.

Hadiah disampaikan Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor John Wilson serta pensyarah Swinburne Sarawak yang juga Penasihat Kelab Catur Dr Wallace Imoudu Enegbuma.

Sementara itu, Presiden Persatuan Catur Sarawak Abang Mohammad Reduan memenangi tempat kedua kategori terbuka, diikuti Aida Suriana Abdul Razak, ketiga.

Kedua-duanya membawa hadiah wang tunai masing-masing bernilai RM200 dan RM100.

Pemenang lain termasuk Jihes Jiheng (kategori veteran), Teh Yi-Lynn (wanita), Don Navarathna (kakitangan Swinburne) dan Atiqul Islam (pelajar Swinburne).

Pemenang termuda ialah Muhd Shahrul Azhar Suidi yang memenangi Kategori Bawah 15.

Advertisement