Anda di sini

Melinda dinobat Miss Cultural Harvest Festival 2018

Advertisement
 Melinda (duduk) bersama pemenang dan peserta akhir Miss Cultural Harvest Festival 2018 yang lain.
JELITAWAN: Melinda (duduk) bersama pemenang dan peserta akhir Miss Cultural Harvest Festival 2018 yang lain.

MISS Cultural Harvest Festival 2018, Melinda Peter Jinap menitiskan air mata di saat namanya diumumkan sebagai pemenang gelaran tersebut.

Gadis cantik berketurunan Bidayuh dan Kelabit dari Lundu ini, menewaskan 13 peserta lain dalam pertandingan akhir di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di Santubong, malam Ahad.

Menerusi kemenangan ini, Melinda, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Mel, menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta mahkota, selempang,  trofi dan sejambak bunga.

Melinda turut menerima biasiswa bagi Program Pelancongan dan Hospitaliti sepenuh masa bernilai RM26,500 tajaan Institut Teknologi Maklumat Nusantara (NIIT College), seutas jam tangan berjenama rekaan Emilio Valentino tajaan Gateway Global Marketing serta  penginapan dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan Damai Beach Resort.

Selain dinobatkan sebagai Miss Cultural Harvest Festival 2018, Melinda yang baharu menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut merangkul gelaran Miss Photogenic dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700, selempang, gambar wajah dan sejambak bunga tajaan Karyawan Studio.

Tempat kedua pertandingan ini pula dimenangi oleh Vanessa Ritti Wat, 27, berketurunan Iban dari Miri yang juga merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dalam bidang Ijazah Pengurusan Sumber Manusia.

Vanessa membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta selempang, trofi dan sejambak bunga, biasiswa Program Pelancongan dan Hospitaliti sepenuh masa bernilai RM26,500 tajaan NIIT College, seutas jam tangan berjenama rekaan Emilio Valentino juga tajaan Gateway Global Marketing dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan Damai Beach Resort.

Manakala tempat ketiga dimenangi Kashwaria Panjanathen, 18, berdarah campuran India dan Iban dari Kuching, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta selempang, trofi, sejambak bunga, biasiswa bernilai RM26,500 tajaan NIIT College, seutas jam tangan berjenama tajaan Gateway Global Marketing dan juga penginapan dua hari satu malam di Hotel Grand Margherita dan Damai Beach Resort.

Kashwaria turut merangkul gelaran Miss Beautiful Eyesight 2018 tajaan Eysight Optic Sdn Bhd yang menawarkan hadiah wang tunai RM700 berserta selempang dan sejambak bunga.

Kashwaria sebelum ini turut dinobatkan sebagai Miss Fitness Riverside 2018 dan pemenang tempat kedua Miss Talent 2018.

Lain-lain gelaran, Miss Talent 2018 dan Miss Popular Facebook 2018 masing-masing dimenangi Asnida Roslan manakala Miss Congeniality Sincerity 2018 dimenangi Felicia Michelle Juran.

Peserta akhir yang lain termasuklah, Vivi Melanie David (23), Joscica Siyah Adot (22), Nur Haziyah Fatin Ahmad Saibi (21), Enniter Elvister Akim (23), Steafferniey Suepang Jackson (21), Jessica Anne Bon (22), Liz Salsadila Shahmat (19), Marry Puspa Luju (22) dan Elvira Atashi Edakson (25).

Dalam pada itu kesemua 14 peserta akhir yang memperagakan pakaian tradisional Iban dinilai oleh empat juri profesional iaitu Datin Lydia Paya, Datin Pearl Masna Ulun, Datin Melinda Claudia Bucking dan Zakaria Hassan.

Pertandingan tersebut turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini, Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang dan Datin Patinggi Puan Sri Datuk Lorna Enan Muloon.

  • oleh
  • Advertisement