Anda di sini

Sarawak-PKNS FC berkongsi satu mata

Advertisement
 Aksi menarik perlawanan Sarawak menentang PKNS FC berakhir tanpa jaringan di Stadium Sarawak petang semalam.
KAWAL: Aksi menarik perlawanan Sarawak menentang PKNS FC berakhir tanpa jaringan di Stadium Sarawak petang semalam.

KUCHING: Hasrat skuad muda Sarawak untuk meraih tiga mata tidak kesampaian apabila terikat tanpa jaringan ketika menentang PKNS FC dalam saingan Kumpulan B kempen Piala Presiden 2018 di Stadium Sarawak di sini semalam.

Bagaimanapun, anak-anak buah pemangku jurulatih, Sulaiman Mustanir sekadar berpuas hati pulang dengan satu mata.

Ternyata usaha menebus duka tidak berjaya setelah tewas dalam dua perlawanan berturut-turut ketika menentang Pulau Pinang (1-0) dan PDRM (3-1) sebelum ini.

Skuad Sarawak B yang turun dengan misi memburu kemenangan bermula garang pada awal babak dengan melancarkan serangan bertali arus.

Namun, kubu pertahanan pelawat kental bertahan daripada dibolosi.

Saingan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua saingan, anak-anak didik Shaifulnizam Abdul Khamis mula mengatur gerak melancar serangan namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Sarawak.

Malah, penjaga gol Sarawak B, Andy Nicholas Nipen turut cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya barisan PKNS FC.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Mohd Amir Fakhri Ismail.

Skuad Piala Presiden Sarawak dijadualkan menentang UiTM FC pada 3 Mei ini di Stadium UiTM Shah Alam.

Advertisement