Anda di sini

Lima lelaki didakwa dalam kes halangan salah

Advertisement
 Lima tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret kelmarin.
DIDAKWA: Lima tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret kelmarin.

LAWAS: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin atas pertuduhan melakukan halangan salah terhadap seorang lelaki pada 18 April lepas.

Tertuduh, Ling Tai Yin, 59, dan Yong King Lung, 64, (kedua-duanya kontraktor), Ngu Ko Hung, 44, (buruh), Wong Ming Chai, 30 dan Tan Chai Huat, 45, (kedua-duanya penganggur), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kelas Kedua Keli Mareng.

Mahkamah turut membenarkan ikat jamin RM1,000 seorang dengan seorang penjamin masing-masing bagi lima tertuduh terbabit.

Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh agar tidak menghampiri serta menghubungi mangsa dan saksi sehingga kes selesai, selain diperintahkan melapor diri setiap minggu sehingga kes selesai.

Kesemua tertuduh yang mengenakan baju lokap berwarna ungu itu membayar wang jaminan.

Sementara itu, Yong turut berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun dia  tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan kes keduanya dan mahkamah kemudiannya membenarkan Yong dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mangsa yang juga warga emas, 63, memberitahu dia didatangi sekumpulan lelaki ketika sedang berada di sebuah kedai makan di Lawas pada 18 April lepas.

Dalam perjumpaan itu, berlaku pertengkaran sebelum mangsa diheret ke dalam kenderaan salah seorang suspek dan dilarikan.

Mangsa turut dibawa ke kawasan Pulau Sari dan dipukul, selain meneruskan perbincangan dengan salah seorang lagi tertuduh.

Ekoran insiden itu, polis melancarkan operasi mencari termasuk mengadakan sekatan di semua jalan keluar dan masuk ke daerah ini.

Mangsa yang dipukul dengan kayu, batang besi serta ditumbuk, mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki, bagaimanapun dibebaskan dan ditinggalkan di kawasan Poliklinik Lawas kira-kira jam 11.50 malam pada 18 April.

Advertisement