Anda di sini

Nasib tidak menyebelahi Sarawak tewas tipis di tangan UiTM FC

Advertisement
 Sarawak mengalami kekalahan kedua pada kempen Liga Premier 2018 dijinakkan oleh UiTM FC malam kelmarin.
KEKALAHAN KEDUA: Sarawak mengalami kekalahan kedua pada kempen Liga Premier 2018 dijinakkan oleh UiTM FC malam kelmarin.

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan tetap mempertahan anak-anak buahnya meskipun tewas 3-2 di pangkuan UiTM FC pada perlawanan Liga Premier 2018 di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

Jurulatih dari Australia itu berkata, pemain-pemainnya bermain dengan baik namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Memang kecewa kerana kita tewas pada perlawanan ini. Kita bermain dengan baik namun gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan.

“Pemain-pemain memberikan tentangan sengit kepada lawan dan memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, cuma nasib jelas tidak berpihak kepada kita.

“Penjaga gol lawan juga bertindak cemerlang mematahkan deretan percubaan daripada penyerang kita,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ini merupakan kekalahan kedua Sarawak pada kempen Liga Premier 2018 setakat ini menyaksikan skuad Ngap Sayot itu jatuh ke tangga ketiga dengan mengumpul 14 mata.

Mereka akan meneruskan perjuangan menentang pendahulu liga, Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka esok, 26 April (Khamis).

Mengulas pertemuan dengan Felda United malam kelmarin, Ian mahu pemain-pemainnya segera melupakan kekalahan di tangan UiTM justeru memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan esok untuk cuba mencuri mata berharga.

Pada perlawanan malam kelmarin, penyerang import dari Argentina, Lucas Pugh menceriakan penyokong UiTM dengan meledakkan jaringan pembukaan pada minit ke-12.

UiTM FC terus selesa di depan selepas Lucas sekali lagi mencipta nama selaku penjaring pada minit ke-32.

Sarawak enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang hasil jaringan pemain import dari Croatia, Mateo Roskam menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan (minit ke-45).

Anak-anak didik Ian sekali lagi dihukum oleh UiTM FC pada minit ke-58 menerusi seorang lagi pemain import dari Ivory Coast, Dao Bakary.

Bagaimanapun, Mateo berjaya mengurangkan defisit gol Sarawak dengan menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-80.

Sarawak berpeluang mengikat kedudukan namun rembatan kencang Milos Raickovic sekadar menggegar palang gol lawan pada lewat permainan.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Advertisement