Anda di sini

PBS akan kekal bertanding di Kadamaian

Advertisement
 

KOTA BELUD: Parti Bersatu Sabah (PBS) Kadamaian berkeyakinan akan diberi mandat untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (:PRU14).

Satu mesyuarat khas AJK bahagian bersama pergerakan Pemuda dan Wanita telah memutuskan untuk menyampaikan bantahan keras kepada kepimpinan tertinggi parti berhubung khabar angin yang tersebar luas di Kadamaian mengenai pertukaran kawasan antara PBS Kadamaian dan Upko Bingkor melalui Biro Politik Pusat.

Ketua Bahagian PBS Kadamaian Demis Rumanti menyifatkan khabar angin itu sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk menganggu gugat hubungan baik komponen BN di Kadamaian.

Beliau yakin mesej akar umbi telah disampaikan kepada kepimpinan dan memahami sentimen seramai 6,000 ahli PBS di Kadamaian.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat khas turut menyampaikan amanat presiden pada Sabtu untuk berkerja keras memastikan calon PBS-BN  Kadamaian menang dalam PRU14, memantapkan kerjasama dan memberi motivasi berterusan untuk terus berjuang.

Menurutnya, PBS akan mewakili BN bertanding dalam PRU14. Presiden Parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah membuat pengesahan dalam perjumpaan dengan Biro politik Parti di Ibu Pejabat PBS pada petang Jumaat.

Demis berkata, calon BN diyakini memenangi PRU14 kerana pelbagai faktor, termasuklah meningkatnya kerjasama padu semua komponen BN berbanding pilihan raya lepas, semua komponen telah bertungkus lumus memberi perkhidmatan kepada rakyat berikutan kekalahan, dan tsunami peralihan sokongan masyarakat Kadamaian terhadap BN luar biasa kerana mereka dahagakan pembangunan.

Tambahnya, formula pertukaran antara kerusi Upko Bingkor dan PBS Kadamaian tidak menguntungkan BN kerana ia akan mengalihkan sokongan undi kepada pembangkang yang mengakibatkan kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan kalah sekali lagi. Bukan sahaja kawasan DUN tetapi juga melibatkan Parlimen Kota Belud dan Parlimen Keningau.

Katanya, pemimpin BN khususnya Upko Bingkor telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada kawasan yang diberikan berdasarkan kuota.

PBS Kadamaian juga telah bekerja keras berdamping dengan masyarakat bagi menebus kekalahan pada pilihan raya lepas.

“PBS Kadamaian telah bertungkus lumus dan sentiasa bersama dengan rakyat dalam pelbagai segi termasuklah memberikan sokongan dan dorongan sosio ekonomi termasuklah dalam bidang pelancongan yang pada ketika ini telah memberikan peningkatan ekonomi yang sangat ketara di kawasan Kadamaian,” katanya.

Demis (tengah) bersama AJK bahagian, Pemuda dan Wanita.
Demis (tengah) bersama AJK bahagian, Pemuda dan Wanita.
Advertisement