Anda di sini

Elizabeth II sambut ulang tahun ke-92

Advertisement
 Diiringi Charles (kanan), Elizabeth II melambai kepada hadirin semasa menghadiri konsert khas ‘Parti Hari Jadi Ratu’ di Royal Albert Hall, London kelmarin. — Gambar Reuters
ULANG TAHUN KE-92: Diiringi Charles (kanan), Elizabeth II melambai kepada hadirin semasa menghadiri konsert khas ‘Parti Hari Jadi Ratu’ di Royal Albert Hall, London kelmarin. — Gambar Reuters

LONDON: Ratu Elizabeth II menyambut ulang tahunnya yang ke-92 kelmarin dengan konsert amal bertemakan Komanwel yang gilang-gemilang, memaparkan Tom Jones, Kylie Minogue dan Shaggy.

Baginda sendiri naik ke pentas pada hujung konsert di Royal Albert Hall, tatkala putera dan pewarisnya Putera Charles mengetuai hadirin untuk membuat sorakan hari jadi.

Cucunda baginda, Putera William dan Putera Harry, yang diiringi tunangnya Meghan Markle, turut menonton persembahan bintang dari seluruh Komanwel, kumpulan 53 negara yang mengadakan sidang kemuncaknya di London pada minggu ini.

Ratu Elizabeth II biasanya meraikan hari jadinya secara peribadi, dengan acara gilang-gemilang hanya untuk sambutan rasmi pada Jun, tetapi konsert berkenaan diadakan untuk membantu badan amal belia baharu Yayasan Komanwel Ratu (The Queen’s Commonwealth Trust).

“Organisasi atas nama baginda ini akan menyediakan platform bagi mereka yang bekerja untuk membawa perbezaan dalam masyarakat di 53 negara.

“Selamat hari jadi, Nenda Ratu,” kata Harry, yang akan menjadi presiden badan amanah tersebut.

Kylie dari Australia antara penghibur yang membuat persembahan pada konsert tersebut, selain penyanyi pop tempat Kanada Shawn Mendes dan koir lelaki dari Afrika Selatan Ladysmith Black Mambazo.

Bintang reggae Amerika Syarikat-Jamaica, Shaggy, berkongsi pentas dengan bintang British Sting, manakala Jones dan Craig David turut membuat persembahan.

Terdahulu sambutan permaisuri itu ditanda dengan tembakan meriam tradisional di Hyde Park dan Tower of London, manakala di Windsor Castle, pancaragam mendendangkan muzik ‘Happy Birthday’ sewaktu pertukaran pengawal.

Baginda sudah menjadi ketua simbolik Komanwel sejak kemangkatan ayahandanya Raja George VI, pada 1952, tetapi para pemimpinnya bersetuju Jumaat lepas Putera Charles akan menggantikannya suatu hari nanti.

Sidang kemuncak berkenaan dibayangi pertikaian mengenai layanan Britain kepada pendatang  Caribbean, manakala Charles sendiri turut mengundang perhatian.

Seorang penulis bukan kulit putih Anita Sethi, mendakwa Charles bergurau sama ada dia benar-benar berasal dari bandar raya Manchester di Britain ketika mereka berjumpa pada mesyuarat Komanwel minggu ini.

Sethi yang mana ibunya lahir di Guyana, mendakwa Charles bertanyakan asal-usulnya dan apabila beliau menjawab ‘Manchester’, putera itu berkata: “Anda tidak kelihatan seperti berasal dari sana!” lalu ketawa.

Beliau menulis dalam akhbar The Guardian bahawa beliau berasa dimalukan dan marah, dan menambah ada orang, termasuk putera itu, amat memerlukan pembelajaran sejarah mengenai penghijrahan. — AFP

Advertisement