Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka didagangkan tinggi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka didagangkan lebih tinggi minggu ini, dengan indeks komposit cenderung untuk melepasi paras 1,900,  dalam dagangan yang tidak menentu, kata Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew.

Beliau bagaimanapun berkata prospek ekonomi global atau faktor luaran masih menjadi penentu arah di bursa tempatan.

“Pada masa ini, ia banyak bergantung kepada faktor luaran dan bukan faktor domestik. Pelabur sudah pun biasa dengannya, namun ia akan berbeza selepas keputusan pilihan raya umum. Situasi itulah yang akan memberi kesan ke atas pasaran saham,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahap sokongan dilihat pada 1,868, 1,880 dan 1,887 manakala paras rintangan berada antara 1,899, 1,903 dan 1,914.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan 19.28 mata lebih tinggi kepada 1,887.75 berbanding 1,868.47 minggu sebelumnya.

Indeks  utama bergerak pada momentum meningkat dan melonjak pada paras tertinggi pada Khamis kepada 1,895.18, susulan peningkatan harga minyak mentah antarabangsa Brent setinggi AS$74.44 (AS$1=RM3.88).

Kali terakhir Indeks  komposit mencapai paras tertinggi pada 1,892.65 direkodkan pada 8 Julai 2014.

Indeks FBM Emas melonjak 39.02 mata kepada 13,168.54, Indeks FBMT100 meningkat 54.40 mata kepada 12,976.02 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 2.63 mata kepada 13,350.07.

FBM 70 turun 202.55 mata kepada 15,617.03 dan FBM Ace merosot 202.01 mata kepada 5,444.12.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 226.0 mata kepada 18,487.84, Indeks Perusahaan menambah 63.72 mata kepada 3,284.70 namun Indeks Perladangan menurun 60.64 mata kepada 7,993.89.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 13.06 bilion unit bernilai RM11.67 bilion berbanding 16.59 bilion unit bernilai RM12.55 bilion.

Jumlah dagangan di pasaran utama merosot kepada 8.12 bilion unit bernilai RM10.76 bilion berbanding 10.17 bilion unit bernilai RM11.57 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 2.75 bilion unit bernilai RM522.99 juta berbanding 3.42 bilion unit bernilai RM449.85 juta.

Jumlah dagangan pasaran ACE susut kepada 2.16 bilion saham bernilai RM385.95 juta berbanding 2.97 bilion saham bernilai RM529.98 juta. — Bernama

Advertisement