Anda di sini

Myanmar akan bebas lebih 8,000 banduan dalam pengampunan am

Advertisement

YANGON: Presiden baharu Myanmar semalam berkata lebih 8,000 banduan akan dibebaskan dalam satu pengampunan am, satu langkah yang menurut kerajaan akan mewujudkan sokongan kemanusiaan di tengah-tengah reformasi politik di negara itu selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan tentera.

Pengampunan presiden itu, yang ditandatangani presiden yang baharu dipilih, Win Myint, berkata langkah itu diambil untuk mewujudkan keamanan sebagai sebahagian daripada sambutan sempena tahun baharu Myanmar. Ia tidak menyebut bila peng-ampunan am itu akan dilaksanakan.

“Untuk membawa ke-amanan dan keseronokan ke dalam hati orang, dan demi sokongan kemanusiaan, 8,490 banduan dari pelbagai penjara akan diberi pengampunan,” Pejabat Presiden menyebut dalam satu kenyataan.

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi telah menjadikan usaha untuk menamatkan perang saudara yang hampir tidak putus-putus bagi mewujudkan perdamaian kebangsaan sebagai keutamaannya yang tertinggi.

Partinya Liga Demokrasi Kebangsaan memegang kuasa pada 2016 di tengah-tengah harapan yang tinggi bagi kebebasan yang lebih meluas selepas hampir setengah abad diperintah oleh tentera.

Dua pemberita Reuters yang dipenjara di Myanmar tidak termasuk dalam peng-ampunan am itu, menurut Min Tun Soe, jurucakap Jabatan Penjara Myanmar, yang memetik prosiding undang-undang yang masih dijalankan.

Mahkamah di Yangon telah mengadakan pendengaran awal sejak Januari lalu untuk menentukan sama ada dua pemberita itu akan didakwa ataupun tidak di bawah Akta Rahsia Rasmi dari zaman penjajah, yang membawa hukuman maksimum penjara selama 14 tahun.

Lebih 6,000 banduan yang dihukum atas kesalahan dadah akan dimasukkan ke dalam pengampunan am itu, menurut satu paparan Facebook oleh jurucakap kerajaan Zaw Htay.

Hampir 2,000 anggota polis dan tentera Myanmar, yang dipenjara di bawah Akta Angkatan Tentera atau Akta Disiplin Polis, akan dibebaskan, tulis Zaw Htay.

Beliau tidak menjelas lanjut.

Beliau berkata seramai 36 banduan dalam senarai pemantau hak asasi manusia, Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik (AAPP) turut dimasukkan ke dalam pengampunan am itu.

Ratusan tahanan politik sudah dibebaskan dari penjara Myanmar dalam pengampunan am sejak beberapa tahun lalu, termasuk puluhan yang dibebaskan pada April 2016, beberapa hari selepas parti penerima Hadiah Ke-amanan Nobel, Suu Kyi, memegang kuasa selepas hampir 50 tahun berada di bawah pemerintahan tentera.

Perlembagaan Myanmar mewajibkan kerajaan awam Suu Kyi untuk berkongsi kuasa dengan angkatan tentera yang berpengaruh dan menguasai jawatan kabinet penting termasuk undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan.

“Kami mengemukakan senarai 44 tahanan politik dan sekarang 36 dibebaskan. Pengampunan am ini adalah berita yang sangat baik dan kami mengalu-alukan dan menyokongnya,” kata wakil AAPP di Myanmar, Aung Myo Kyaw.

“Namun sebuah negara demokratik tidak seharusnya ada seorang pun tahanan politik,” katanya. “Ia pasti lebih baik jika tahanan politik lain dan juga mereka yang masih menghadapi dakwaan diampuni.”

Suu Kyi, yang diletakkan di bawah tahanan rumah selama bertahun-tahun, berkata membebaskan tahanan politik lain adalah keutamaan tertinggi.

Sebelum pengampunan am semalam, seramai 240 aktivis politik dipenjara atau menunggu perbicaraan di Myanmar, menurut AAPP.

Suu Kyi menghadapi ke-sukaran untuk menyangkal kritikan mengenai pertumbuhan ekonomi yang semakin lembap dan proses damai yang tergendala.

Kerajaannya juga meng-hadapi kecaman antarabangsa yang semakin meningkat bagi operasi ketenteraan terhadap masyarakat Muslim Rohingya yang sudah menyebabkan hampir 700,000 anggota masyarakat minoriti untuk lari ke Bangladesh. — Reuters

Advertisement