Anda di sini

Dua penjenayah tegar direman lima hari

Advertisement

MIRI: Dua penjenayah tegar yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman lima hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 28 tahun dari Quadruplex Bandar Baru Permyajay di sini, diperintahkan menjalani reman di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan penolong pegawai penyiasat, Sarjan Syukri Sidi, pada 16 April lalu, seorang pengadu telah membuat laporan di Balai Polis Lutong mendakwa rumahnya dipecah masuk pencuri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 7 pagi, 16 April lalu, ketika sampai di rumah, beliau mendapati besi jeriji pintu rumahnya bengkok dan terbuka secara paksa, manakala ruang tamu berselerak dan banyak barang hilang.

Setelah membuat pemeriksaan lanjut, pengadu mendapati dua unit kipas, satu unit pemanas air, tiga pasang kasut, sepasang selipar dan sebuah tong gas telah hilang, dipercayai dicuri.

Menurut pengadu, dia meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci sejak jam 5 petang, 12 April.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.15 petang, 16 April lalu di kawasan tempat letak kereta sebuah kompleks beli-belah di Bandar Baru Permyjaya, polis telah menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sepasang kasut keselamatan daripadanya untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, suspek bersama barang kes kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Susulan tangkapan ke atas suspek pertama, sekitar jam 11.30 malam hari sama di hadapan sebuah rumah di Bandar Baru Permyjaya, polis menangkap seorang lagi suspek disyaki turut terbabit dalam kes tersebut.

Hasil siasatan awal polis mendapati semasa ditangkap, suspek pertama hendak menjual sepasang kasut keselamatan atas arahan suspek kedua dan seorang lagi rakan yang masih bebas.

Dalam permohonan lanjutnya, Syukri berkata, memandangkan siasatan lanjut tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, justeru dipohon reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek yang merupakan pesalah tegar bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes dan membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie yang mendengar kes itu membenarkan reman lima hari sehingga 22 April.

Advertisement