Anda di sini

ECRL: Pelaburan yang sangat bermakna

Advertisement

KUALA LUMPUR: Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion merupakan pelaburan yang sangat bermakna, terutama kepada penduduk di Pantai Timur, kerana ia akan mengubah ekonomi dan gaya hidup mereka dalam jangka masa panjang.

Jajaran sepanjang 688 kilometer itu, yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan itu akan mempunyai 28 stesen. Ia menawarkan perkhidmatan penumpang  dan kargo, dan dijangkakan siap pada Jun 2024.

Pada majlis pecah tanah bagi stesen ECRL  Tunjong, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pembinaan stesen ECR itu akan mengubah bandar terbabit kepada pusat pertumbuhan ekonomi baharu untuk penduduk Kelantan.

Mohd  Farhan Hafiz Nozeli, 30, dari Kelantan berkata pada tahap makro, projek itu akan membantu syarikat pembinaan tempatan terlibat dalam kontrak yang dianggarkan  bernilai RM16 bilion selain merangsang sektor pelancongan.

“Sektor pengangkutan kargo juga boleh memanfaatkan projek ini yang dijangkakan mampu menyediakan peluang  pekerjaan, terutama berkamahiran tinggi untuk masyarakat setempat.

“ECRL akan menjadi platform menyediakan lebih banyak perkerjaan,  dan pada masa yang sama meningkatkan infrastruktur di sepanjang laluan untuk rakyat,” katanya kepada Bernama.

Seorang pensyarah dari Kuantan, Pahang, Juliawati Mohd Yunus, 35, berkata, projek itu memberi impak kepada pasaran.

“Dalam industri  hartanah, harga rumah di Kuantan mula meningkat sehingga 10 peratus  dalam tempoh kurang lima tahun. Mujur saya sudah membeli sebuah unit di Kota Sri Ahmad Shah, yang merupakan antara stesen ECRL, dan saya  sangat teruja untuk melihat perubahan di kawasan ini.

“Namun, kembali kepada idea projek ini, yang bertujuan untuk meningkatkan industri kecil dan sederhana tempatan, saya sudah melihat  sesuatu akan berubah. Tidak akan ada lagi masa yang lama untuk mengangkut produk getah dari kilang pembuatan getah Johor untuk memenuhi permintaan di Kelantan.

“Ini belum lagi perubahan yang pasti berlaku di sekitar kawasan itu kerana ia akan dibangunkan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada negara. Stesen ECRL Tunjong hanya satu kilometer dari Lebuhraya Kota Baru-Gua Musang dan ia akan menjadi titik perhentian yang popular bagi pengguna jalan raya apabila pusat membeli-belah, kemudahan dan infrastruktur lain dibangunkan,” katanya.

Namun Juliawati berkata masih  ada orang yang tidak dapat memahami mengapa kerajaan memutuskan untuk memilih pengangkutan kereta api sedangkan usaha menaik taraf lebuh raya sedia ada juga dapat memberi manfaat kepada kedua-dua industri dan rakyat.

“Saya dan keluarga seiring berkunjung ke Kuala Lumpur, dan kita hanya boleh melakukannya pada waktu malam selepas bekerja dan kadang-kadang lebuh raya sesak dan kadang-kadang anda akan melihat lembu-lembu memakan rumput di sepanjang lebuh raya dan ini berbahaya.

“Menerusi ECRL, kami boleh tiba di destinasi dengan selamat. Namun, saya hanya bimbangkan kadar tambang,” katanya.

Siti Safiah Ismail, 28, dari Terengganu mengalu-alukan projek itu kerana ia akan membantu ibu saudaranya menjual keropok lekor kepada penumpang menggunakan kereta api.

“Bagi kami usahawan mikro, kami bergerak serentak di kawasan PantaiTtimur dan tren merupakan kaedah yang sesuai kerana dapat mengangkut produk dan menyerahkan kepada kepada pelanggan dalam keadaan yang baik.

Hakikat bahwa ECRL dapat memendekkan masa perjalanan merupakan bonus dan ia dapat meningkatkan perniagaan kerana kami dapat memberikan lebih banyak produk segar kepada para pelanggan dan meningkatkan kekerapan perjalanan kami,” katanya.

Dilaporkan  bahawa keluaran dalam negara kasar Pantai Timur dijangka meningkat sekurang-kurangnya 1.5 peratus, berikutan projek ECRL.

Pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, dalam satu kenyataan berkata di Kelantan sahaja, pembinaannya berjalan  lebih awal daripada jadual.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri & Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Dr Shahrin Nasir, berkata ramai melihat  ECRL sebagai pencetus perubahan untuk negara.

“Antara lain, perjalanan lima jam dari Tumpat, dan bukannya 11 jam dengan kereta atau 13 hingga 24 jam  menggunakan laluan kereta api lama, akan meningkatkan pergerakan pelancong Pantai Timur.

“Sektor pelancongan  pasti akan meningkat. Pada pendapat saya keseluruhan penjajaran rangkaian kereta api boleh dimanfatkan untuk mempromosikan pelancongan di kawasan tersebut. Pakej pelancongan untuk meneroka pulau-pulau di Terengganu yang indah boleh menjadi antara salah satu tarikan,” katanya.

Shahrin  berkata walaupun banyak yang berhujah tentang tambang memandangkan projek itu bernilai RM55 bilion, beliau melihat peranan ECRL lebih kepada pergerakan kargo dari Pantai Timur ke Pelabuhan Klang.

Kerajaan menambah, RM5 bilion untuk menyambung jajaran dari Gombak ke Pelabuhan Klang yang merupakan pintu masuk kargo ke Malaysia.

“Persekitaran perniagaan akan berubah memandangkana  ECRL akan membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan menyokong kawasan industri sedia ada di Pantai Timur. Apabila lebih banyak kawasan perindustrian dibuka, masyarakat akan mula bergerak dari Pantai Barat ke Pantai Timur.

“Taman Perindustrian Gambang merupakan contoh terbaik. Jika lebih banyak taman perindustrian di Terengganu dan Kelantan dapat dibangunkan, ini akan menjadikan negeri ini lebih makmur,” katanya.

Namun katanya, cabaran terbesar adalah untuk memastikan ECRL menjadi perkhidmatan pilihan bagi pergerakan penumpang dan kargo.

Perniagaan kereta api, katanya,memerlukan anjakan untuk terus bertahan.

“Ini serupa dengan apa yang dilakukan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd yang memperkenalkan perkhidmatan kereta api elektrik. Menerusi perkhidmatan yang boleh dipercayai, pelanggan akan yakin untuk menggunakannya.

“Kereta api tidak banyak menjejaskan alam sekitar. Sekiranya rakyat Malaysia boleh dididik untuk melihat kelebihan perjalanan kereta api kepada alam sekitar, ECRL boleh menjadi perkhidmatan pilihan bagi mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement