Anda di sini

Musa usaha penduduk miliki unit rumah

Advertisement
Musa ketika melawat salah sebuah gerai menjual sayur-sayuran.
Musa ketika melawat salah sebuah gerai menjual sayur-sayuran.

SANDAKAN: Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman akan berusaha membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Batu 12 di sini agar boleh memiliki unit rumah berkenaan.

Menurutnya, ketika ini penduduk hanya menyewa unit rumah dan beliau akan cuba berusaha berbincang dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar rumah itu boleh disewa beli.

"Pembinaan PPR Sungai Manila memang telah memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah. Setiap bulan mereka hanya membayar sewa pada kadar beberapa ratus sahaja.

"Tetapi, kalau boleh kita tidak mahu rakyat hanya bayar sahaja tetapi pada akhirnya tidak boleh memiliki rumah ini.

"Oleh itu, saya akan berunding dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar agar rumah PPR Sungai Manila boleh disewa beli oleh penduduk.

"Saya akan datang lagi ke sini untuk memberitahu sama ada usaha saya berjaya atau tidak," katanya ketika berucap pada Program Karnival Jualan Sentuhan Rakyat di PPR Sungai Manila, Batu 12, di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah isteri Musa, Puan Sri Faridah Haji Tussin, Timbalan Ketua Bahagian Umno Libaran Datuk Juslie Ajirol, Naib Ketua Bahagian Umno Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Ir James Wong.

Mengenai program itu, Musa berkata ia adalah inisiatif kerajaan dalam memberi ruang dan peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.

Jelasnya, program seumpama itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri di Kota Kinabalu pada bulan lalu dengan hasrat mahu memastikan pelbagai barangan keperluan dapat dijual kepada golongan sasar pada harga yang lebih murah.

"Kita sedar kadang kala barangan seperti ini dijual mahal kerana orang tengah ingin mengaut keuntungan yang lebih. Sebab itu ada barang yang murah tetapi dijual lebih mahal. Oleh itu, kita bawa program seperti ini terus kepada rakyat agar mereka boleh menikmati barangan yang dijual lebih murah.

"Selain di PPR Sungai Manila, kita juga telah bawa program ini ke taman perumahan yang lain di seluruh negeri. Kalau boleh, kita mahu inisiatif ini diadakan secara berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan penduduk PPR Sungai Manila agar terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi membolehkan lebih banyak program bermanfaat dilaksanakan pada masa akan datang.

Jelasnya, Karnival Jualan Murah itu adalah antara sebahagian kecil daripada inisiatf kerajaan dalam membantu dan membela nasib rakyat.

"Di Libaran ini, telah banyak pembangunan dan kemajuan telah dilakukan seperti hab pendidikan, sekolah, klinik, jalan raya dan sebagainya. Ini semua demi manfaat rakyat.

"Sehubungan itu, marilah kita sama-sama memastikan agar inisiatif dan usaha oleh kerajaan ini akan berterusan," katanya.

MUSA menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutah nombor bertuah.
MUSA menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutah nombor bertuah.
  • oleh
  • Advertisement