Anda di sini

Terpulang kepada KM, PM tentukan calon BN kerusi Parlimen Sibu: Wong

Advertisement

SIBU: Calon berpotensi Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk Parlimen Sibu, Dato Andrew Wong menyerahkan kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri untuk memutuskan sama ada beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi P.212 Sibu.

“Kami menyerahkannya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskannya.

“Jika saya dipilih, saya akan berusaha kuat bagi memenangi kerusi itu untuk BN,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk kerusi P.212 Sibu.

Menurut Wong, pihaknya kini sudah bersedia sepenuh-nya menerusi penganjuran pelbagai program termasuk lawatan ke rumah-rumah panjang dan di kawasan bandar untuk bertemu penduduk.

Katanya, bermula minggu depan, mereka akan meng-adakan lawatan ke rumah-rumah panjang pada waktu pagi, manakala pada sebelah petang pula di kawasan bandar.

“Saya tidak mengatakan bahawa kami adalah calon BN pada PRU14 nanti, tetapi kami beranggapan bahawa gerak kerja kami secara keseluruhannya adalah untuk BN,” ujar beliau.

Ditanya sama ada BN mempunyai peluang lebih baik untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sibu daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekiranya BN mencalonkan beliau bertanding, Wong memilih untuk menjawab soalan itu dengan mengatakan beliau akan melakukan yang terbaik.

“Saya fikir ramai orang beranggapan bahawa tidak ada masalah (merampas kerusi itu) berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

“Namun harus diingatkan bahawa, isu-isu yang dibangkitkan adalah berbeza... sangat penting untuk kita tidak terlalu yakin,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perjanjian persefahaman (MoU) di antara SUPP dan UPP, Wong berkata ia cara terbaik untuk bekerjasama.

Pun begitu katanya, masih terdapat sesetengah orang yang tertanya-tanya mengapa mereka (UPP dan SUPP) masih bergerak secara berasingan selepas menandatangani MoU.

Wong berpendapat, masa pemeteraian MoU itu sedikit lewat apabila setiap parti sudah pun mempunyai jentera pemilihan mereka sendiri.

“Tetapi, saya rasa ini bagus (kerana ia) menggandakan lagi usaha untuk memastikan kemenangan BN walaupun sebelum MoU, kami seolah-olah bersaing.

“Secara peribadi, saya berasakan bahawa selepas MoU kita tidak bersaing lagi, kita bergerak ke arah yang sama, iaitu untuk memastikan kemenangan BN,” tegas Wong.

Pada PRU13, DAP yang meletakkan calon baharu di kerusi P.212, Oscar Ling Chai Yew memperolehi 26,808 undi menewaskan calon BN Temenggung Dato Vincent Lau yang mendapat 23,967 undi dan calon bebas Nerawi Haron yang meraih 203 undi.

Bercakap lanjut mengenai PRU14, Wong berkata, pengundi muda mampu menjadi penentu kepada kejayaan BN di kerusi Parlimen Sibu dan Lanang.

Dalam  hal  ini, Wong percaya, adalah penting kehendak dan keperluan pengundi muda diberi keutamaan.

“Jika dilihat trend PRU terdahulu, sumbangan pengundi muda memainkan peranan penting.

“Dari situ, kita dapat lihat tentang kemampuan mereka, sekali gus membuktikan tidak mustahil bagi BN untuk meneruskan tradisi kemenangan dan mentadbir negara.

“Tambahan pula, golongan muda hari ini jauh lebih bijak dan seperti sudah bersedia untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan melalui kebe-ranian yang diketengahkan,” katanya sambil menambah, pengundi muda sangat di-perlukan untuk memastikan kemenangan BN.

Advertisement