Anda di sini

Kompleks Wanita, Kanak-Kanak Hospital Kajang siap 2021

Advertisement
 Najib melihat replika bangunan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Hopital Kajang di Sungai Jelok Kajang di Kuala Lumpur semalam.                  Turut hadir Dr Subramaniam (kanan) dan Dr Noor Hisham (kiri). — Gambar Bernama
REPLIKA: Najib melihat replika bangunan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Hopital Kajang di Sungai Jelok Kajang di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Dr Subramaniam (kanan) dan Dr Noor Hisham (kiri). — Gambar Bernama

KAJANG: Pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak, yang merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf Hospital Kajang dijangka siap pada 2021 dengan kos pembinaan RM304.5 juta, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berharap pembinaan bangunan tambahan itu dapat mengurangkan kesesakan pesakit di hospital yang telah berusia 129 tahun itu.

Menerusi lawatan mengejutnya ke Hospital Kajang pada 2015, tanpa pengetahuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Najib berkata beliau dapat melihat sendiri keadaan sebenar hospital tersebut.

“Apabila buat cara sebegini (lawatan mengejut), saya dapat lihat keadaan sebenar, bukan keadaan yang disusun semasa dilawat perdana menteri.Keadaan bangunan pun telah uzur. Bererti bangunan seperti ini perlu dilakukan tokok tambah gantian. Saya minta jika boleh dipercepatkan siap adalah lebih baik,” katanya berucap melancarkan majlis pecah tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak) di sini semalam.

Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak itu dibina dengan jarak 800 meter daripada tapak hospital sedia ada melibatkan 272 katil, 14 bilik bersalin, enam bilik bedah serta kemudahan klinik pakar dan pusat rawatan harian.

Najib berkata kelulusan projek menaik taraf Hospital Kajang itu diumumkan dalam Bajet 2016  yang akan memberi manfaat kepada hampir 1.2 juta penduduk Kajang dan sekitar Hulu Langat.

“Inilah Langkah Kajang Barisan Nasional yang boleh memanfaatkan rakyat. Bukan sahaja hospital, malah MRT (Transit Aliran Masa) dari Sungai Buloh ke Kajang se-panjang 51 km,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkhidmatan kesihatan yang disediakan di negara ini adalah antara yang terbaik  berbanding negara lain.

Malah, perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan juga hanya dikenakan bayaran minimum dengan anggaran RM50 untuk kos bersalin serta RM1 untuk perkhidmatan rawatan pesakit luar.

“Selain itu, nisbah satu doktor kepada 400 pesakit juga dijangka tercapai pada 2020 sebagai usaha menambah baik perkhidmatan kita,” katanya.

Hadir sama pada majlis pecah tanah itu adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. — Bernama

Advertisement