Anda di sini

Kerajaan diyakini tidak abai veteran ATM

Advertisement
 Mohd Anwar menyampaikan sumbangan kepada wakil persatuan veteran di Sarawak, semalam.
PRIHATIN: Mohd Anwar menyampaikan sumbangan kepada wakil persatuan veteran di Sarawak, semalam.

KUCHING: Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diyakini tidak akan mengabaikan kebajikan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Presiden Persatuan Veteran ATM Malaysia Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, komitmen itu telah dibuktikan oleh kerajaan selama ini menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan.

“Dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini juga jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap veteran ATM apabila telah menyatakan akan membina 1,800 rumah untuk veteran ATM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku di Kem Penrissen di sini semalam yang turut dihadiri Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Mohd Anwar berkata, kerajaan sebelum ini juga telah membantu warga veteran ATM dan membela nasib mereka.

Katanya, pada 31 Julai tahun lepas, kerajaan telah memberikan RM1,500 setahun kepada veteran ATM tidak berpencen melalui program Bakti Negara.

Selain itu katanya, kerajaan turut memberi RM600 setahun kepada veteran yang tidak layak menerima BR1M.

“Ini menunjukkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa melihat keperluan veteran,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Persatuan Veteran Malaysia Sarawak, Persatuan Veteran Renjer Sarawak sebanyak RM1,000 dan Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Sarawak sebanyak RM3,000.

  • oleh
  • Advertisement