Anda di sini

BN Kelantan jangka umum calon PRU14 sebelum 25 April

Advertisement
 Mustapa (empat kiri) melawat Dataran Tok Pa selepas menyempurnakan perasmiannya di Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama
LAWAT: Mustapa (empat kiri) melawat Dataran Tok Pa selepas menyempurnakan perasmiannya di Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan dijangka dapat mengumumkan senarai calonnya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU14) sebelum 25 April ini, kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kesemua nama calon itu sudah dimuktamadkan dan pihaknya percaya calon yang ditampilkan itu dapat menyaingi calon daripada parti lain.

“Kita kemukakan calon yang terbaik bagi berdepan cabaran calon parti lawan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Tok Pa dan Astaka Padang Perdana di Jalan Dato’ Pati di sini, semalam.

Dataran tersebut dimula-kan pembinaannya pada 16 Jun 2016 dan siap pada 31 Nov 2016 dengan kos sebanyak RM450,000.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk  Ahmad Yakob dilaporkan menyatakan PAS Kelantan dijangka membuat pengumuman calon-ca-lonnya yang akan bertanding pada PRU14 antara 23 April hingga 25 April, iaitu  agak lewat berbanding pengumuman PAS Pusat iaitu pada 19 April.

Mengenai Manifesto BN Kelantan, Mustapa berkata antara tumpuan utama manifesto tersebut adalah untuk membela golongan belia dan membangunkan hartanah di negeri ini.

Beliau berkata manifesto BN Kelantan sudah diluluskan secara fizikal dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

Mustapa berkata kerajaan negeri perlu mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan kerajaan persekutuan supaya lebih banyak projek pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali mentadbir negeri ini sudah tentu banyak lagi pembangunan boleh dilaksanakan di negeri ini dengan sokongan padu daripada kerajaan persekutuan. — Bernama

Advertisement