Anda di sini

95 peratus liputan jalur lebar di Malaysia menjelang 2020

Advertisement

KOTA BELUD: Kerajaan, dengan usaha sama pemain industri telekomunikasi, giat melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan pembangunan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan kawasan yang diliputi jalur lebar di seluruh negara mencapai 95 peratus menjelang 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ke arah usaha itu, teknologi satelit telah digunakan dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar dengan ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) di kawasan  terpencil seperti di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Bagi memperluas capaian Internet berkelajuan tinggi, sebanyak 423 ibu sawat telah di naik taraf di seluruh negara di bawah projek Jalur Lebar Luar Bandar yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar tetap dengan kelajuan sehingga 20 mega bit sesaat.

“Melalui inisiatif peluasan liputan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 1,686 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi dengan liputan 3G dan 4G dan 4,061 menara sedia ada juga telah dinaik taraf dengan liputan yang sama di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) Peringkat Negeri Sabah di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Dr Sharifah Zarah  Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam.

Salleh berkata kerajaan melalui kementeriannya amat prihatin dengan perkembangan dan pembangunan yang dilaksanakan khususnya untuk masyarakat luar bandar dan di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, melalui program perluasan skop CTU, kita telah melaksanakan aktiviti membaik pulih rumah-rumah daif di kawasan pedalaman. Sebanyak 189 projek CTU pembaikan rumah telah dikenal pasti.

“Bagi negeri Sabah, sebanyak 20 buah rumah telah dipilih untuk program baik pulih tersebut iaitu masing-masing lima di Tenom, Beluran, Sandakan dan Tawau. Kesemua rumah tersebut telah pun siap di baik pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya akan meneruskan usaha itu  bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup masyarakat di kawasan pedalaman terus terpelihara.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Sabah khususnya di Kota Belud terus menyokong usaha kerajaan untuk memastikan semua pembangunan dapat terus dilaksanakan demi kebaikan rakyat.

Mengulas mengenai program itu, Salleh berkata ia dilaksanakan selama dua hari sejak kelmarin dengan pelbagai perkhidmatan disediakan oleh 33 agensi kerajaan terutamanya dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Program ini yang bertujuan untuk menyemarakkan hubungan pemimpin bersama rakyat berlandaskan konsep Negaraku Malaysia juga diharap dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kita berharap melalui program ini jurang di kalangan rakyat di luar bandar dan bandar dapat dirapatkan khususnya dari segi kemudahan Internet,” katanya. — Bernama

Advertisement