Anda di sini

Kolej Komuniti pupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat

Advertisement

LENGGONG: Penubuhan 98 Kolej Komuniti di seluruh negara buat masa ini mampu memupuk dan menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata penawaran kursus jangka  pendek dan panjang di kolej itu dilihat mampu menunaikan permintaan masyarakat  tanpa mengira peringkat umur apabila menyediakan pelbagai latihan serta kemahiran yang diperlukan menerusi pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Kerajaan sedar bahawa masyarakat setempat memerlukan latihan dan kemahiran tertentu dalam mengembangkan perniagaan mereka terutamanya individu yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Keperluan tersebut dipenuhi dengan wujudnya Kolej-Kolej Komuniti di seluruh negara, sekali gus menjadikan masya-rakat mampu mempersiapkan diri memasuki Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan mereka melakukan perubahan, seiring dengan transformasi digital,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Kolej Komuniti Lenggong  iaitu Kolej Komuniti ke-98 di seluruh negara, di pekarangan Majlis Daerah Lenggong di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia Prof Datuk Mohd Ismail Abd Aziz.

Mengulas mengenai Kolej Komuniti itu yang juga ke-14 seumpamanya di Perak,  Idris berkata ia akan lebih memberi tumpuan kepada Sijil Pelancongan dan Pengembaraan, sesuai dengan status Lembah Lenggong yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2004.

Shamsul Anuar berkata kewujudan institusi pendidikan tinggi seperti Kolej Komuniti Lenggong ini juga mampu membantu kerajaan negeri dalam melakukan lonjakan bagi menaikkan lagi sektor pelancongan negeri.

Sementara itu, seorang warga emas, Aishah Hamad, 70, membuktikan usia bukan  penghalang untuk terus me-nimba ilmu mengembangkan perusahaan ikan loma pekasam yang diceburinya sejak lima tahun lalu.

Berasal dari Kampung Batu 6, Bandariang, Gerik dekat sini, beliau sanggup meredah perjalanan kira-kira sejam untuk ke Pekan Lenggong, bagi mendaftarkan diri mengikuti kursus Teknik Melabel Produk jangka pendek yang ditawarkan.

Aishah atau lebih mesra dipanggil Opah berkata berbekalkan minat mendalam dan mahu memajukan perniagaan menyebabkan beliau menghadiri kursus jangka pendek itu yang hanya dikenakan bayaran RM5 untuk setengah hari.

“Opah dah daftar kursus ini pada tiga hari lepas. Sebenarnya opah tidak pernah guna komputer tapi disebabkan minat hendak belajar itu, opah belajarlah juga. Memang ada rasa malu, rasa pelik tapi bila dah menghadap guna komputer terasa seronok pula. Lagipun banyak perkara mereka (tenaga pengajar) tunjukkan,” katanya.

Beliau berkata produk ikan loma pekasamnya ketika ini hanya dijual sekitar Hulu Perak, dan diharapkan apabila adanya label produk dalam pembungkusan, ia dapat dipasarkan lebih jauh.

Tidak memohon ataupun bergantung sebarang bantuan perniagaan, beliau yang tinggal berseorangan berkata kesemua ikan loma ditangkap sendiri di sungai belakang rumahnya, selain turut memproses ikan itu secara sendirian.

“Bila suami dah meninggal dunia kira-kira lima atau enam tahun lepas dan anak-anak semuanya merantau serta kadangkala balik, ini sahajalah yang boleh membuatkan opah leka dan seronok-seronok,” katanya yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak muda. — Bernama

Advertisement