Anda di sini

1,660 bungkus air ketum dirampas di Balik Pulau

Advertisement
 A. Anbalagan (dua kiri) menunjukkan bungkusan ketum serta peralatan memproses ketum bernilai RM13,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dekat Balik Pulau, semalam. — Gambar Bernama
HASIL SERBUAN: A. Anbalagan (dua kiri) menunjukkan bungkusan ketum serta peralatan memproses ketum bernilai RM13,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dekat Balik Pulau, semalam. — Gambar Bernama

BALIK PULAU: Sejumlah 1,660 bungkusan plastik berisi air ketum dan enam kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM13,000 dirampas dalam dua serbuan di Bayan Lepas, dekat sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1.30 petang di sebuah rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas polis turut menahan lima lelaki berumur antara 23 hingga  55 tahun.

“Polis menemui enam tong berwarna oren yang mengandungi 1,640 bungkusan plastik lutsinar yang disyaki cecair mitragynine atau ketum. Kami turut merampas peralatan memproses ketum antaranya periuk besar, tong gas, penapis daun, kayu pengacau dan raga kecil,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, tiga daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kesemua mereka direman sehingga 14 April ini.

Anbalagan berkata, dalam satu lagi serbuan kira-kira jam 10.40 pagi hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di sebuah rumah di Sungai Ara, dekat sini pada jam 10.40 pagi Rabu dan merampas 20 bungkusan plastik lutsinar berikat getah yang disyaki  berisi air ketum, satu bungkusan plastik hitam yang di dalamnya juga disyaki daun ketum serta peralatan memproses cecair ketum.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau di bawah Akta Racun melibatkan  kes memiliki ketum,” katanya. — Bernama

Advertisement