Anda di sini

Cubaan seludup 70kg dadah bernilai RM3.85 juta gagal

Advertisement
  Subromaniam (tengah) diberi penerangan mengenai dadah yang dirampas oleh Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah (dua kiri) ketika mengadakan sidang media di Pejabat Kastam Bukit Kayu Hitam dekat Bukit Kayu Hitam, semalam. — Gambar Bernama
TERBESAR: Subromaniam (tengah) diberi penerangan mengenai dadah yang dirampas oleh Pengarah Kastam Kedah Datuk Johari Alifiah (dua kiri) ketika mengadakan sidang media di Pejabat Kastam Bukit Kayu Hitam dekat Bukit Kayu Hitam, semalam. — Gambar Bernama

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 70 kilogram dadah dipercayai jenis Methamphetamine bernilai RM3.85 juta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata dadah berkenaan ditemukan dalam sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz yang melalui lorong pemeriksaan kenderaan di ICQS berkenaan pada jam 9.30 pagi.

“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran tempatan, dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang datang dari negara jiran

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kereta tersebut, pegawai pemeriksa mengesyaki bonet belakang kereta tersebut seolah-olah diubah suai,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Pemeriksaan rapi selanjutnya menemui kesemua 70 bungkusan dadah yang dibalut plastik lutsinar di ruangan tersembunyi dalam bonet kenderaan yang diubah suai, kata Subromaniam.

Beliau berkata, dadah tersebut dipercayai cuba diedarkan di negara ini.

Subromaniam berkata, kejayaan itu adalah rampasan terbesar dadah jenis Methamphetamine di Kedah dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam kegiatan penyeludupan dadah terutama di sempadan negara.

Suspek terbabit ditahan reman 14 hari bermula kelmarin di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement