Anda di sini

Kumpulan pecah rumah ‘Fei Fat’ di Taiping tumpas

Advertisement
 Mohamad Taib (dua, kiri) menunjukkan parang yang digunakan Kumpulan pecah rumah ‘Fei Fat’ untuk mengumpil pintu dan tingkap rumah mangsa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam. — Gambar Bernama
BUKTI: Mohamad Taib (dua, kiri) menunjukkan parang yang digunakan Kumpulan pecah rumah ‘Fei Fat’ untuk mengumpil pintu dan tingkap rumah mangsa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam. — Gambar Bernama

TAIPING: Polis menumpaskan  kumpulan pecah rumah ‘Fei Fat’ dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu dan dua pengikutnya dalam serbuan di tiga kawasan di bandar itu pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata dalam serbuan pada 3.15 petang itu,  polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Keat’, 21, di Taman Medan Bersatu, Kampung Boyan.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas suspek pertama, polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Bi’, 31, dan merampas beberapa barangan dan peralatan pecah rumah di Aulong.

“Polis juga menahan ketua kumpulan itu dikenali sebagai Fei Fat berumur 36 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang Ah Long di Pokok Assam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini semalam.

Mohamad berkata modus operandi kumpulan itu yang aktif sejak akhir tahun lalu menyasarkan rumah keluarga Cina yang tidak berpenghuni untuk melakukan jenayah pecah rumah pada siang hari dengan menggunakan parang dan kuku kambing.

Beliau berkata kesemua suspek mengaku terbabit dalam enam kes pecah rumah di Taiping, Aulong dan Changkat Jering membabitkan kerugian mangsa kira-kira RM50,000.

“Kita berjaya menemui semula beberapa barangan curi seperti komputer, telefon, jam tangan,  tiga botol arak, power bank dan beberapa barangan elektronik daripada suspek,” katanya sambil menambah barangan yang dicuri itu dipercayai dijual di beberapa kedai yang sedang dikesan polis.

Menurut Mohamad, siasatan juga mendapati ketua kumpulan itu mempunyai 26 rekod jenayah lampau manakala seorang suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan seorang lagi mempunyai enam rekod jenayah.

Katanya, hasil ujian air kencing,  ketiga-tiga suspek didapati positif dadah Methamphetamine dan direman 21 hari untuk siasatan. — Bernama

Advertisement