Anda di sini

Sorok parang di ‘badan’ motosikal, dua dicekup

Advertisement

KUCHING: Dua lelaki ditangkap polis selepas didapati memiliki sebilah parang yang disembunyikan di dalam ‘badan’ motosikal yang ditunggangi mereka semasa ditahan untuk pemeriksaan di Matang, di sini kelmarin.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 20-an itu masing-masing berasal dari Taman Sri Jaya Matang dan pada mulanya ditahan anggota dari Balai Polis Gita selepas dilihat mencurigakan iaitu sekitar jam 9 malam Ahad lepas.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui sebilah parang dianggarkan sepanjang 19 sentimeter yang diselitkan di tepi badan motosikal tersebut dan kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut,” kata sumber.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pembantu kedai membuat laporan polis mendakwa telah dirompak dua lelaki bersenjatakan parang semasa sedang bekerja di sebuah kedai di Jalang Matang, di sini sekitar jam 5 pagi hari yang sama.

Difahamkan, semasa kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang bekerja di kaunter apabila didatangi suspek yang kemudian terus mengacukan parang dan mengarahkannya membuka mesin wang tunai.

“Suspek terus mengambil wang dari mesin tersebut dan melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” kata sumber yang turut memberitahu suspek berjaya melarikan wang tunai kira-kira RM300.

Dalam satu lagi kes, seorang wanita turut membuat laporan polis mendakwa dirompak dua lelaki semasa membuka pagar rumahnya di Jalan Chawan, di sini sekitar jam 12.20 pagi Ahad lepas.

Sumber memberitahu mangsa berusia 25 tahun itu didatangi dua lelaki bertopi keledar, di mana seorang daripada terus mengacukan parang di pinggangnya sebelum merampas beg tangannya dan terus melarikan diri.

“Mangsa tidak sempat mengambil semula beg tangannya itu kerana kejadian berlaku dengan pantas,” kata sumber.

Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah wang tunai kira-kira RM2,000, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi.

  • oleh
  • Advertisement