Anda di sini

Faktor luaran pengaruhi pergerakan ringgit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit minggu ini dijangka dipengaruhi faktor luaran, terutama data ekonomi Amerika Syarikat, kata peniaga.

Ketua Strategi Pemasaran Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, perkara utama ialah minit mesyuarat terbaru Jawatankuasa  Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan bacaan inflasi AS, yang dijadual dikeluarkan minggu ini.

“Minit mesyuarat FOMC akan dilihat oleh peniaga sebagai pengumuman risiko tinggi dan ringgit boleh turun naik, dalam arah yang sama, bergantung kepada nada Rizab Persekutuan.

“Baru-baru ini bank pusat AS telah melembutkan pendiriannya bahawa terdapat empat kenaikan kadar faedah AS pada 2018 dan pengesahan ini akan dilihat sebagai risiko untuk dolar AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perdagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, pengeluaran laporan pekerjaan AS baru-baru ini akan memastikan pasaran dapat mengekalkan kedudukan ringgit menjelang pilihan raya akan datang.

“Mengenai pilihan raya, ia akan terus memihak kepada ringgit kerana tidak ada risiko politik sebenar,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata, Bank Negara Malaysia mungkin tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah tidak lama lagi disebabkan inflasi yang lebih rendah. Justeru, saya menjangka ringgit akan diniagakan antara 3.8550 dan 3.8850 pada minggu depan,” katanya.           Untuk minggu yang baharu berakhir, ringgit diniagakan antara 3.8600 dan 3.8680, terutama dipengaruhi kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-China, pengeluaran data gaji bukan ladang AS dan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Dewan Rakyat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar AS kepada 3.8680/8720 daripada 3.8620/8650 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.6035/6076 daripada 3.6369/6404 Jumaat sebelumnya dan meningkat berbanding euro kepada 4.7352/7413 daripada 4.7603/7659.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.4195/4266 daripada 5.4246/4307 minggu lepas dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 2.9345/9387 daripada 2.9476/9511 sebelum ini. — Bernama

Advertisement