Anda di sini

Sikap terbuka pengurusan AirAsia dipuji

Advertisement
 Riad dan Benyamin bersama pasukan pengurusan AirAsia serta para pengamal media merakamkan gambar kenangan  semasa Taklimat AirAsia Bersama Media 2018 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MESRA MEDIA: Riad dan Benyamin bersama pasukan pengurusan AirAsia serta para pengamal media merakamkan gambar kenangan semasa Taklimat AirAsia Bersama Media 2018 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 Pengamal media dari Sarawak bergambar kenangan semasa di Kuala Lumpur bagi mengikuti Taklimat AirAsia Bersama Media 2018  yang diadakan  pada 3 April di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MEDIA SARAWAK: Pengamal media dari Sarawak bergambar kenangan semasa di Kuala Lumpur bagi mengikuti Taklimat AirAsia Bersama Media 2018 yang diadakan pada 3 April di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PELUANG mengikuti program kelolaan syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia adalah perkara lazim bagi pengamal media.

Bagaimanapun, acara Taklimat AirAsia Bersama Media 2018 di Kuala Lumpur pada 3 April lepas, agak lain daripada kebiasaan buat penulis.

Bukan cerita mengenai layanan, bintang hotel penginapan atau menu hidangan kerana semua itu pasti perkara keutamaan oleh mana-mana penganjur yang bertanggungjawab menjemput para media.

Perspektif penulis sebelum ini beranggapan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa termasuk AirAsia enggan melayan sebarang komen atau pandangan yang boleh menjejaskan reputasi mereka.

Namun, tanggapan itu jauh meleset apabila AirAsia sudi melayan pelbagai pertanyaan wartawan tempatan dan antarabangsa dengan hati terbuka tanpa prejudis.

Pelbagai persoalan dikemukakan, tetapi yang paling terkesan ialah soalan seorang pengamal media antarabangsa mengenai menu makanan syarikat penerbangan itu sering bertukar ganti.

Wakil media antarabangsa terbabit mendakwa beliau ‘cintakan’ menu AirAsia terutama sajian biskut mereka.

Menurutnya, beliau sering kali menempah sajian itu setiap kali mengembara menggunakan AirAsia, namun kecewa apabila biskut itu tidak lagi tersenarai dalam menu.

Walaupun soalan mungkin remeh bagi sesetengah pihak, namun pegawai AirAsia sudi memberi respons dan berjanji akan memasukkan semula menu itu dalam senarai andai itu kehendak pelanggan.

Dalam hal ini, penulis berpendapat AirAsia tidak hanya melihat kepada usaha meraih keuntungan semata-mata, tetapi berusaha memenuhi kepuasan semua peringkat pelanggan mereka.

Dalam pada itu,  seramai 80 pengamal media dari tiga negara membabitkan Malaysia, Bunei Darussalam dan Singapura datang ke Kuala Kumpur bagi mengikuti acara itu bermula Isnin lalu.

Taklimat mengenai AirAsia dimulakan dengan ucapan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail.

Objektif penganjuran taklimat ialah untuk memberi maklumat kepada pengamal media berhubung organisasi syarikat penerbangan murah itu.

Panel penceramah terdiri daripada Ketua Operasi Kapten Adrian Jenkins, Ketua Pusat Kawalan Operasi Andy Brooker, Ketua Keselamatan Kapten Ling Liong Tien, Ketua Komersil AirAsia Malaysia Spencer Lee, Ketua Kumpulan Komersil Airasia X Barry Klipp, Ketua Hubungan Pelabur Esme Law dan Ketua Data dan Pegawai Digital Shanti Nikunj.

Antara topik yang dibentangkan termasuk operasi kos rendah, sistem kawalan penerbangan, pertumbuhan berterusan AirAsia dan struktur baharu  kumpulan AirAsia serta model perniagaan kos rendah AirAsia.

Pada taklimat itu, media turut diperkenalkan dengan ONEAirAsia Newsroom iaitu laman web mengenai informasi dan perkembangan terkini AirAsia yang dilancarkan semalam.

Selain itu, program taklimat tersebut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang dimenangi seramai 10 pengamal media dari tiga negara terbabit.

  • oleh
  • Advertisement