Anda di sini

Bubar DUN: Lim jumpa TYT Isnin ini

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar) akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di sini untuk mendapatkan persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Isnin ini.

"Saya akan bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada hari Isnin pukul 8.30 pagi dan satu pengumuman kemudian akan dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis anugerah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menasihatkan semua ketua  kerajaan negeri kecuali Sarawak, menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan pembubaran DUN supaya  pilihan raya dapat diselaras serentak di seluruh negara.

Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.

Pulau Pinang diperintah pakatan rakyat sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala PKR (10), PAS (satu) dan Barisan Nasional (10). Bagi kerusi Parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga).

Sementara itu, mengulas penggunaan logo dan simbol PKR oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan pada PRU14, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata ia akan menimbulkan kesulitan dan tidak menolak kemungkinan akan menjejaskan undi DAP pada pilihan raya itu.

"Kami tahu bahawa ahli-ahli tegar (DAP) yang sudah sebati dengan (lambang) roket memang ada sedikit masalah dan juga ada perasaan kurang puas hati tentang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kebangsaan dan negeri untuk menggunakan logo bersama Pakatan Harapan.

"Logo bersama Pakatan Harapan digunakan untuk meningkatkan peluang rakyat melakukan perubahan. Memang ini satu pengorbanan oleh parti DAP yang merupakan parti paling lama dalam Pakatan Harapan tapi sekiranya ia perlu untuk menyatupadukan rakyat untuk menangkis tohmahan dan fitnah… sekiranya berjaya ia berbaloi," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan turun padang bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu kepada akar umbi dan penyokong DAP.

"Kami akan adakan perhimpunan kebangsaan Isnin ini di Dewan Sivik Kelana Jaya pada pukul 8 malam,” katanya.

Pengumuman penggunaan logo dan simbol PKR itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, Johor malam tadi. - BERNAMA

Advertisement