Anda di sini

KGT hargai produktiviti penjawat awam: CUEPACS

Advertisement
 Sebahagian penjawat awam bergembira selepas Najib mengumumkan berita baik untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
MENGUJAKAN: Sebahagian penjawat awam bergembira selepas Najib mengumumkan berita baik untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan penghargaan bagi pencapaian produktiviti penjawat awam terhadap sektor perkhidmatan awam, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Pengiktirafan ini penting dan tidak semua orang beri pengiktirafan sebegini,” kata presidennya Datuk Azih Muda.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam, Najib mengumumkan satu KGT untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Ia merupakan KGT di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi 2018.

Pada majlis itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Azih berkata insentif berkenaan adalah manifestasi penghargaan kerajaan kepada sumbangan penjawat awam terhadap kemajuan negara.

“Ia secara langsung menunjukkan kerajaan menghargai sumbangan penjawat awam yang  telah meletakkan negara pada landasan yang betul,” katanya selepas menghadiri majlis itu.

Azih berkata seluruh kepimpinan CUEPACS menghargai dan berterima dengan semua insentif yang diumumkan perdana menteri.

“Semua budi dan jasa yang diberi kepada kami ini tentu kami tidak lupakan.

“Insya-Allah, kami berjanji akan terus menampilkan produktiviti dengan lebih kukuh dan baik bagi mengangkat negara kita seperti disebut perdana menteri iaitu ‘Par Excellence Duniawi’ dan ‘Par Excellence Ukhrawi’,” katanya. — Bernama

Advertisement