Anda di sini

Undang-Undang Antiberita Tidak Benar langkah pencegahan sebelum berlaku malapetaka

Advertisement

KUALA LUMPUR: Undang-undang melibatkan berita tidak benar penting dalam memastikan negara tidak diancam terutama dari segi politik dan ekonomi sehingga akhirnya menggugat demokrasi negara.

Senator Datuk Dr Lucas Umbul berkata isu berita tidak benar telah menjadi krisis global kerana kebanyakan negara turut menghadapi masalah kebenaran berita yang disebarkan terutama melibatkan isu keganasan.

“Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 ini lebih kepada ‘preventive’ (pencegahan) di mana kita harus mencegah sebelum berlaku sebarang malapetaka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 di Dewan Negara, semalam.

Beliau yang bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang itu berkata semua usaha dan langkah yang diambil pihak kerajaan menerusi RUU tersebut adalah untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat tanpa mengira warna kulit, agama serta latar belakang politik.

Sementara itu, seorang lagi anggota Dewan Negara berkata penyebaran berita tidak benar bukan hanya berlaku secara bermusim seperti ketika menjelangnya musim pilihan raya sahaja, malah ia sudah wujud sejak sekian lama, cuma yang berbeza ialah kaedah penyebaran berita berkenaan yang berubah mengikut peredaran zaman.

Senator Datuk Dr S. Ananthan berkata revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas menyebabkan berita termasuk yang tidak benar, disebarkan dengan begitu pantas.

Senator Dr Nuing Jeluing pula menyeru agar akta ini tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak demi keharmonian dan kesejahteraan negara.

Beliau yang menyokong RUU itu berkata berita palsu atau tidak benar berkemungkinan boleh membawa kesan yang buruk kepada negara serta mangsa terlibat.

“Banyak berita yang tidak benar disebarkan. Lebih-lebih lagi di media sosial sekelip mata sahaja ia disebarkan dengan adanya platform seperti aplikasi WhatsApp, Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau memberi contoh antaranya omokan pihak pembangkang bahawa Malaysia bakal bankrap jika terus diperintah kerajaan Barisan Nasional, namun ekonomi negara terus berkembang antara 5.5 peratus hingga enam peratus tahun ini seperti diunjurkan Bank Negara.

Senator Datuk Farahiyah Nordin pula berkata rang undang-undang itu perlu dikuatkuasakan segera bagi membendung fenomena penularan penerbitan berita palsu yang merencat keharmonian negara, integriti institusi serta tatasusila pengguna.

“RUU yang dikemukakan untuk kita bahas ini bukanlah hanya memberi manfaat kepada kerajaan Barisan Nasional sahaja... tindakan bersepadu dapat dilakukan tanpa mengira bahan terbitan berita tidak benar ini dibuat oleh individu, pegawai kerajaan atau institusi mahupun pemimpin dan pengikut parti politik,” katanya. — Bernama

Advertisement