Anda di sini

57 sempurnakan latihan sukarelawan bersama APM

Advertisement
 Para pelajar diajar cara-cara berkawad dengan betul.
SIAP SEDIA: Para pelajar diajar cara-cara berkawad dengan betul.

SERAMAI 57 pelajar dan dua pensyarah Kolej Komuniti Miri berjaya menyempurnakan Latihan Asas Sukarelawan Pertahanan Awam Siri 1/2018 di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri di Miri, baru-baru ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abdul Hamid berkata, latihan dua hari itu turut melibatkan tujuh jurulatih APM.

 Pelajar cuba membuat teknik balutan yang diajar jurulatih APM.
FAHAM: Pelajar cuba membuat teknik balutan yang diajar jurulatih APM.

“Pelbagai aktiviti serta proses pengajaran diajar kepada para peserta yang menjurus kepada bidang tugas APM.

“Pada hari pertama misalnya mereka didedahkan dengan pengenalan APM, seterusnya dengan silibus balutan, luka dan kepatahan,” katanya dalam satu kenyataan di Miri, baru-baru ini.

Mohd Hazle Shah berkata, aktiviti hari pertama itu turut melibatkan rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR) dan latihan kawad.

“Pada hari kedua pula, mereka didedahkan dengan teknik-teknik menyelamat semasa kecemasan dan juga silibus ikatan dan simpulan.

“Aktiviti sebelah petang diteruskan dengan pembelajaran silibus melawan kebakaran,” katanya.

Advertisement