Anda di sini

Skim sewa dan miliki bantu rakyat Sabah memiliki rumah

Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Program Perumahan Rakyat (PPR) berkonsepkan ‘rent to own’ (sewa dan miliki) yang diperkenalkan di Sabah mulai tahun ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah.
Katanya konsep itu juga merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang sebelum ini perlu membuat pinjaman bank untuk membeli rumah.
“Mereka cuma perlu membayar kadar sewa yang ditetapkan kerajaan dan selepas itu dalam tempoh tertentu, mereka menjadi pemilik kepada unit rumah yang mereka duduki,” katanya kepada pemberita selepas ditemuramah menerusi slot ‘Bah!Apa Cerita?’ yang disiar secara langsung di TVOKEY di sini malam kelmarin.
Katanya kaedah itu juga merupakan antara pendekatan kerajaan dalam menangani masalah setinggan di Sabah akibat penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar.
Beliau berkata untuk permulaan, projek berkenaan akan dilaksanakan di Sandakan, di PPR Batu Sapi yang melibatkan 180 unit yang telah siap dan PPR Batu Putih (900 unit dengan 80 peratus siap) sebelum diperluas ke daerah lain. 
“Inilah yang dikatakan sebagai satu usaha kerajaan Barisan Nasional untuk membantu rakyat kita memiliki rumah masing-masing, terutama dalam kalangan  mereka yang kurang berkemampuan.
“Skim ini akan diteruskan di seluruh Sabah kerana ia merupakan satu dasar kerajaan untuk membantu rakyat kita yang ingin memiliki rumah tetapi mereka tidak mampu membuat pinjaman dan sebagainya. Insya-Allah, skim ini akan menjadi skim yang popular dalam kalangan rakyat kita,” katanya.
Terdahulu, dalam temu ramah di TVOKEY, Hajiji berkata kementeriannnya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan akan membangunkan ‘1Malaysia Youth City’ di Kampung Laya-Laya di Tuaran seiring dengan dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan.
Katanya antara komponen utama di bawah projek berkenaan ialah penyediaan kemudahan tempat tinggal untuk para belia, menyediakan ruang perniagaan seperti kios perniagaan dan mewujudkan pusat kreatif bagi yang berbakat dalam muzik, seni, perfileman dan reka cipta.
1Malaysia Youth City di Tuaran itu akan turut menampilkan pusat riadah moden, sistem telekomunikasi dan Internet selain dihubungkan dengan sistem pengangkutan yang maju, katanya. — Bernama

Advertisement