Anda di sini

Bunuh bekas kekasih, duda digantung sampai mati

Advertisement

MIRI: Seorang duda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh bekas kekasihnya, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Alwi Abdul Wahab setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dalam kes ini.

Katanya, sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan beberapa bukti kukuh yang konsisten dengan kesalahan yang didakwa ke atas tertuduh.

“Polis turut merampas sebatang besi dari kediaman keluarga tertuduh yang didakwa digunakan tertuduh sebagai peralatan untuk menjaga keselamatan diri semasa bekerja sebagai ‘bouncer’ sebelum kejadian.

“Berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati  ia cukup untuk menyabitkan tertuduh telah mendatangkan kecederaan ke atas si mati sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya sambil menambah, kali terakhir sebelum kematiannya, si mati dilihat bersama tertuduh.

Sementara itu, hasil bedah siasat mendapati  punca kematian si mati akibat kecederaan parah di kepala dengan kesan retak pada tengkorak akibat dipukul menggunakan objek keras dan tumpul.

Tambahan selepas kejadian, tertuduh melarikan diri dan hanya berjaya ditangkap tiga bulan kemudian di Kuching.

Nasir Ramli, 30, dari Lorong 5F-2a, Tudan Desaras di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan niat telah melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Norfisa Othman, 25.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 malam, 5 Jun hingga 1 pagi, 6 Jun 2016 di Jalan Dato Permaisuri 2C, Permyjaya di sini.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Robert Ayu, peguam bela dilantik mewakili tertuduh, memberitahu tertuduh yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu amat menyesal atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Malah dia (tertuduh) memberitahu keinginan untuk berjumpa keluarga si mati, namun ditolak keluarga terbabit.

Setelah mengambil kira kesemua aspek, mahkamah kemudian menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh.

Ketika hukuman dibacakan, tertuduh hanya menundukkan kepalanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar sepasang suami isteri dipercayai ibu bapa tertuduh ke Hospital Miri sekitar jam 1 pagi, 6 Jun 2016 untuk mendapatkan rawatan segera.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital tersebut.

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Nasir yang sebelum itu menyembunyikan diri selama lebih dua bulan setelah mengetahui kematian mangsa, akhirnya berjaya diberkas hasil serbuan polis ke atas sebuah rumah di Kampung Semariang, Petra Jaya, Kuching pada jam 5.30 pagi, 24 Ogos, 2016.

Tertuduh kemudian dieskot ke Miri untuk disoal siasat berhubung kes tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz.

Advertisement