Anda di sini

MDLBS giatkan operasi pembersihan tanaman di hadapan rumah penduduk

Advertisement
 Sempurai (tiga kanan) pada sidang media semalam yang turut dihadiri Lau (tiga kiri) dan Justani (dua kanan).
TINDAKAN TEGAS: Sempurai (tiga kanan) pada sidang media semalam yang turut dihadiri Lau (tiga kiri) dan Justani (dua kanan).

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan meneruskan operasi pembersihan tanaman termasuk pokok buah-buahan di hadapan rumah penduduk di Sibu Jaya tahun ini, selain penternakan ayam, unggas dan sebagainya.

Pengerusinya Sempurai Petrus Ngelai berkata, pada tahun lalu MDLBS telah melakukan pembersihan di Lorong 1 dan 2 manakala semua penduduk telah diberi notis mengenai perkara terbabit.

“Notis telah dikeluarkan tahun lepas kepada semua penduduk di Sibu Jaya.

“Bagi pemilik rumah yang enggan menebang pokok buah-buahan di hadapan rumah mereka, MDLBS akan melantik kontraktor untuk melakukan pembersihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS semalam.

Sempurai berkata, kepu-tusan melarang penanaman sebarang jenis tumbuhan dan pokok buah-buahan dibuat pada tahun lepas.

Ujar beliau, ia bertujuan mengelakkan akar pokok merosakkan longkang serta menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes terutama pokok pisang.

“Pada tahun ini, kerja-kerja pembersihan diteruskan ke Lorong 3 dan 4, justeru saya memohon kerjasama daripada jawatankuasa kejiranan.

“Apa yang kami lakukan adalah di bawah tatacara pihak berkuasa tempatan. Kami mempunyai kuasa untuk membersih dan menghapuskan semua jenis tanaman dan pokok buah-buahan,” tegasnya.

Bagaimanapun Sempurai menjelaskan bahawa MDLBS akan mempertimbang jika ada penduduk ingin membuat landskap di hadapan rumah.

“Jika mereka menanam pokok buah atau pokok yang sangat tinggi hingga akarnya boleh merosakkan longkang, maka kami tidak membenarkannya,” katanya.

Mengenai penternakan ayam di hadapan dan belakang rumah di Sibu Jaya, beliau menegaskan bahawa MDLBS juga tidak berkompromi dalam isu terbabit.

Tambah beliau, MDLBS akan mengadakan operasi pada bulan depan dengan kerjasama polis, bahagian penguat kuasa dan kesihatan awam untuk merobohkan struktur haram seperti reban ayam.

Sempurai berkata, berdasarkan laporan terakhir daripada Seksyen Kesihatan Awam, malah terdapat beberapa kandang babi di belakang rumah.

“Ini adalah kawasan perumahan, di bawah undang-undang dan peraturan kebersihan pihak berkuasa tempatan, penternakan terutama babi dan itik adalah dilarang 100 peratus,” jelasnya.

Katanya, MDLBS bukan berniat untuk menghukum tetapi sekadar ingin mewujudkan kesedaran, selain mahu menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa MDLBS sangat serius mengenai soal kebersihan.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pengerusi MDLBS Kaunselor Robert Lau Hoi Yew dan Setiausaha MDLBS Justani Joni.

Advertisement