Anda di sini

Kerajaan komited budayakan amalan hidup sihat

Advertisement
 Leslie (empat kanan) bersama tetamu lain melakukan simbolik perasmian penutupan Kejohanan Olahraga SMK St Columba Ke-63 di Miri semalam.
SELESAI: Leslie (empat kanan) bersama tetamu lain melakukan simbolik perasmian penutupan Kejohanan Olahraga SMK St Columba Ke-63 di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan komited membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat menerusi penganjuran acara sukan di peringkat akar umbi termasuk melibatkan sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, ia terbukti dengan inisiatif kerajaan menaik taraf kemudahan sukan untuk kegunaan atlet dan orang awam.

“Penganjuran Fit Malaysia contohnya, melibatkan peserta seluruh negara untuk mempromosikan amalan hidup sihat dan bebas penyakit,” katanya.

Sebastian diwakili Pegawai Khasnya Leslie Lau pada Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba Ke-63 di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan untuk membina lebih banyak sekolah sukan di negeri ini sebagai usaha memartabatkan kegiatan sukan dalam kalangan rakyat.

“Bahkan Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan polisi ‘1 Pelajar 1 Sukan’ bagi menggalakkan pelajar menceburi sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah mereka,” katanya.

Di samping untuk kesihatan tubuh, aktiviti tersebut juga dapat memupuk semangat bekerjasama, berdisiplin dan motivasi kepada pelajar untuk fokus dalam pelajaran.

“Tubuh yang sihat akan melahirkan individu yang cergas dan cerdas seterusnya ia akan menyumbang kepada keyakinan mereka untuk fokus dalam akademik,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 445 atlet mengambil bahagian dalam 15 acara balapan dan olahraga yang berlangsung selama tiga hari di padang Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Atlet dibahagikan kepada empat kumpulan rumah iaitu Rumah Chong, Rumah Danson, Rumah Macdougall dan Rumah Lim dengan kejohanan menawarkan 336 pingat.

Persatuan Bulan Sabit Merah menjuarai kategori perbarisan beruniform sementara Kadet Polis dan Persatuan Pengakap masing-masing naib juara dan tempat ketiga.

Rumah Macdougall pula ditabal juara keseluruhan kejohanan itu, manakala naib juara pula milik Rumah Chong dan Rumah Lim (ketiga).

  • oleh
  • Advertisement