Anda di sini

Upacara ‘Napok’ mohon restu kerja membaiki jalan di Belaga

Advertisement
 Lato berdoa sambil memegang beras berwarna-warni untuk makanan Bungan.
KUSYUK: Lato berdoa sambil memegang beras berwarna-warni untuk makanan Bungan.

UPACARA ‘Napok’ atau miring diadakan untuk memohon kepada tuhan agar memberi keselamatan, melindungi pemimpin-pemimpin dan penduduk serta merestui kerja-kerja membaiki jalan dari Simpang Menjawah sehingga pekan Belaga, baru-baru ini.

Upacara berdoa kepada Bungan (tuhan penganut agama Bungan) dilakukan oleh Ketua Dayong (guru untuk penganut Bungan) MU Lato Juman berdekatan jambatan Sungai Tebavan, Belaga.

Sementara itu, bagi menjamin keadaan di tempat tersebut selamat, Ketua Polis Daerah Belaga ASP Melay Tingom dan rombongannya telah pergi ke tempat itu sehari sebelum upacara diadakan dan terus bermalam di sana.

Penyelia projek untuk kerja membaiki jalan tersebut Tang Ai Teck ketika ditanya media Jabatan Pe-nerangan berkata: “Kami sekarang hanya membaiki bahagian jalan-jalan yang berlubang sahaja.

Kerja membuat jalan yang sebenarnya hanya akan dilakukan sebaik sahaja pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai membuat rekaan serta spesifikasi untuk jalan tersebut.”

Pegawai Menguasa JRK Belaga Felix Jebbi Juma pula menjelaskan bahawa rekaan serta spesifikasi jalan tersebut dijangka siap selepas pertengahan tahun ini.

Menurut Kaunselor Bete Lahang, pihak Majlis Daerah Kapit akan membina pondok rehat berdekatan Sungai Tebavan itu sebagai tempat berehat untuk pengguna jalan raya sebelum meneruskan perjalanan ke Belaga atau ke Bintulu. 

Turut hadir pada upa-cara tersebut ialah SAO Zain Rocky, Temenggung Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Penghulu Surat, Penghulu Jackson Kubang, Kaunselor Daniel Levoh, Kaunselor Bete Lahang, MU Lejau Sirek, Kapitan Teo, Pegawai Penerangan Daerah Belaga Luhat Lihan, Penyelia Hanayin Engineering Sdn Bhd Kuching Jacky Ng dan Penyelia Hanayin Engeniering Sdn Bhd Bintulu David Hwong.

 Lato dan rombongan menyempurnakan upacara Napok.
SELESAI: Lato dan rombongan menyempurnakan upacara Napok.
Advertisement