
KOTA KINABALU: Seorang pemandu lelaki maut di lokasi kejadian manakala dua lagi penumpang parah selepas pikap yang dinaiki terbabas awal pagi Selasa.
Thong Chung Wai, 59, maut selepas tersepit di pikap yang dipandunya selepas terbabas di Bulatan Telipok Ria Jalan Kota Kinabalu-Tuaran jam 4.25 pagi, manakala identiti dua mangsa lain belum diketahui.
Pegawai Bomba Mohd Jaafar yang mengetuai operasi berkata dua mangsa lain yang dipercayai mengalami kecederaan parah sudah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Anggota bomba yang digerakkan ke lokasi kejadian melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan khas kebombaan.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya sebelum operasi keseluruhan ditamatkan pihaknya melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kejadian lain berlaku.
Tambahnya operasi yang ditamatkan jam 5.35 pagi dijayakan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran selepas pihaknya menerima panggilan jam 4.29 pagi.