Anda di sini

JBPM tambah balai tingkatkan masa respons di sabah, sarawak

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menambah balai bomba dan penyelamat di Sabah dan Sarawak bagi mempercepatkan masa respons kepada insiden kecemasan di dua negeri itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata jabatan berkenaan sentiasa memberi keutamaan kepada pembinaan balai baharu di dua negeri berkenaan, khususnya kawasan yang jauh dari balai terdekat.

Kita akan membuat kajian secara menyeluruh dari segi menilai risiko kawasan seperti kepadatan penduduk, berapa banyak bangunan, perniagaan komersil dan aliran trafiknya.

Kalau risiko tinggi dan jarak dari balai terdekat sangat jauh, kawasan ini akan kita beri keutamaan,” katanya kepada pemberita selepasa majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sabah di sini semalam.

Wan Mohd Nor turut memberitahu Sabah akan memiliki tiga balai baharu tahun ini di Kimanis, Pitas dan Sook, manakala pembinaan balai di Putatan dijangka bermula tahun ini dan siap tahun hadapan.

Dalam memperbaiki masa respons kepada panggilan kecemasan, beliau berharap masyarakat, khususnya pengguna jalan raya, memberi kerjasama dengan memberi laluan kepada jentera bomba yang sedang bertugas.

Menurutnya, ketika ini, JBPM menyasarkan waktu tindak balas 10 minit untuk sampai ke tempat kejadian.

Pada majlis itu, 68 pegawai dan anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 56 kakitangan JBPM Sabah menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan 20 pegawai dan anggota, termasuk pesara jabatan itu menerima pingat kebesaran jabatan berkenaan.

JBPM turut menyampaikan cek pampasan insurans khas masing-masing bernilai RM19,000 kepada waris dua anggota JBPM yang meninggal dunia.

Marlina Sundang, 58 dari Ranau menerima cek itu setelah suaminya Moidin Sompot, 60, seorang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) meninggal dunia akibat diserang sakit jantung ketika bertugas di Gunung Kinabalu pada Disember lepas.

Zurita Abdul Said, 27 pula menerima cek itu setelah bapanya Abd Said Sindan, 57, seorang anggota bomba sukarela dari Likas di sini meninggal dunia akibat strok tahun lepas. — Bernama

Advertisement