Anda di sini

Suku akhir pertama Miri FA menentang Rantau Panjang ditunda pada 31 Mac

Advertisement

MIRI: Perlawanan suku akhir pertama antara Miri FA menentang Rantau Panjang, Kelantan dijadualkan semula pada 31 Mac depan di Padang Rekreasi Petroleum Lutong, jam 4.15 petang.

 Presiden Persatuan Bola Sepak Miri (Miri FA), Mohd Saif Jubaidi berkata perlawanan sepatutnya berlangsung pada 24 Mac ini ditunda ke tarikh baharu bagi memberi ruang kepada pemain-pemain.

 “Pemain-pemain kita masih trauma dengan nahas bas terbalik di Jalan Papar-Kimanis baru-baru ini dan kita memohon agar pasukan kami diberi tempoh untuk pemulihan mental, fizikal dan spiritual,” katanya di sini semalam.

 Mohd Saif berkata, meskipun rata-rata pemain hanya mengalami kecederaan ringan namun pengalaman berada dalam bas semasa nahas itu berlaku sukar dilupakan oleh mereka.

 “Meskipun kejadian itu sukar dilupakan namun semua pemain kita sudah memulakan latihan seperti biasa semalam (kelmarin) dan sebagai persiapan menjelang suku akhir pada 31 Mac ini,” jelasnya.

 Beliau berkata, satu majlis doa selamat diadakan malam kelmarin sebagai tanda kesyukuran setelah semua pemain dan pegawai terselamat dalam nahas itu.

 “Kita amat yakin kemalangan melibatkan pegawai dan pemain-pemain Miri FA tidak mematahkan semangat mereka sebaliknya terus fokus untuk perlawanan seterusnya,” ujar beliau.

 Namun, katanya, Miri FA perlu menang pada perlawanan suku akhir pertama di gelanggang sendiri sebagai bekalan ke tempat lawan.

 Peminat-peminat bola sepak tempatan dipelawa datang beramai-ramai bagi memberi sokongan moral kepada skuad Miri FA menentang Rantau Panjang pada perlawanan suku akhir pertama nanti.

 Hadir sama Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yussuf, Imam Masjid Piasau Abdullah Ghoni, pegawaipegawai, jurulatih dan pemain- pemain Miri FA.

Advertisement