Anda di sini

STMY menawarkan ganjaran tunai RM1 juta kepada pakar industri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cabang fasilitasi akademik industri Agensi lnovasi Malaysia (AIM), Steinbeis Malaysia Foundation (STMY), menawarkan ganjaran tunai RM1 juta kepada pakar perkara berkaitan industri (SMX) jika mereka dapat menyelesaikan 100 pernyataan masalah perniagaan dunia nyata melalui Program Penyelesaian SMX.

 Program tersebut menyediakan platform kepada perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat peringkat pertengahan untuk mengemukakan soalan mereka dan mencari penyelesaian bagi masalah teknikal dan bukan teknikal.

 Ketua Pegawai Eksekutif STMY Dr Abdul Reezal Abdul Latif, berkata setiap satu daripada 100 pernyataan masalah menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pakar yang memberikan penyelesaian terbaik kepada masalah tersebut dalam masa sebulan.

 Beliau berkata program itu berdasarkan kepada model ‘crowdsourcing’ dan akan dijalankan melalui media cetak dan media sosial.

 “Kebanyakan syarikat menghadapi pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan secara dalaman susulan kekurangan sumber.

 “Kami berharap dapat memanfaatkan potensi besar penyelesaian untuk menangani pernyataan masalah tertentu dalam kalangan syarikat Malaysia,” katanya pada pelancaran Program Penyelesaian SMX di sini semalam.

 Abdul Reezal berkata cabaran itu bukan sahaja terbuka kepada 50 SMX STMY tetapi turut kepada orang ramai yang menganggap diri mereka sebagai pakar industri.

 “Setakat ini, kami telah menerima 15 pernyataan masalah daripada syarikat terutamanya daripada sektor pembuatan, dan kami berharap untuk mendapat 100 pernyataan masalah bagi program tersebut menjelang November tahun ini,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AIM sAbdullah Arshad, berkata program tersebut bertujuan memacu inisiatif STMY untuk membantu kerjasama akademik-industri antara komuniti perniagaan dan ahli akademik, sektor saintifik dan penyelidikan dan pembangunan.

 “Program ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-11 untuk meningkatkan produktiviti negara secara keseluruhan, apabila STMY akan memanfaatkan aksesnya kepada rangkaian global yang luas di lebih 50 buah negara.

 “Sejak ditubuhkan pada 2014 hingga akhir tahun lepas, STMY telah membantu sebanyak 391 buah syarikat melalui perundingannya dan pelbagai program, mencapai pengoperasian sebanyak 250 projek,” katanya.

 Abdullah berkata mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam program tersebut, boleh melayari www.steinbeis.my untuk maklumat lanjut. — Bernama

Advertisement