Anda di sini

Sarawak hantar kontinjen terbesar pada Kejohanan Karate Senior Kebangsaan

Advertisement
 Clarence (kiri) bersama Daud (dua kanan), pegawai MSNS dan atlet semasa majlis penyerahan bendera semalam.
KIBAR CABARAN: Clarence (kiri) bersama Daud (dua kanan), pegawai MSNS dan atlet semasa majlis penyerahan bendera semalam.

KUCHING: Persatuan Karate Sarawak akan menghantar kontinjen terbesar seramai 21 atlet pada Kejohanan Karate Senior Kebangsaan MAKAF Ke-38 yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Mac ini di Kulim, Kedah.

 Skuad diketuai jurulatih merangkap pengurus pasukan, Clarence Leong dan ketua jurulatih, Muhammad Al-Harir akan berlepas hari ini.

 Semalam, berlangsung majlis penyerahan bendera disempurnakan oleh Pegawai Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Daud Dato Aba kepada Clarence bertempat di Sarawak Stadium.

 Daripada 21 atlet bertanding, lima daripadanya datang dari Kuching iaitu Muzahid Asyraff, Kho Zhan Hong, Chang Sze Poh (lelaki), Tara Lim dan Elnieshernie Endun (wanita).

 Manakala, selebihnya dari Miri di bawah kendalian jurulatih, Jarvis Julian.

 Clarence yang juga jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dalam acara karate di sini berkata objektif utama penyertaan Sarawak pada kejohanan tersebut adalah untuk meningkatkan tahap kemahiran atlet ke peringkat kebangsaan dengan harapan mereka dapat dipilih dalam skuad negara.

 Selain itu, ia juga menjadi pemilihan awal skuad SUKMA Sarawak untuk menghadapi temasya di Perak pada September akan datang.

 “Kami mahu menaikkan lagi standard atlet kita hingga ke tahap kebangsaan.

 “Sarawak telah menyertai kejohanan ini sejak bertahun dan kali ini kita membawa skuad terbesar dengan 19 daripadanya atlet berpotensi SUKMA.

 “Pada SUKMA 2016, kita memenangi dua pingat perak dan tiga gangsa. Kali ini kita mahu memperbaiki pencapaian tersebut,” katanya.

 Menurut Clarence, Sarawak lebih berpeluang memenangi pingat dalam acara ‘kata’.

 Beliau juga berharap atlet terpilih mempamer persembahan meyakinkan dan berjaya mengharumkan nama negeri.

 Menyentuh persiapan kontinjen karate, Clarence menegaskan atlet akan menjalani tapisan ketiga pada satu tarikh belum ditetapkan sebaik pulang dari Kedah.

Advertisement