Anda di sini

Pelajar PVMA SMK Perempuan lancar produk kegunaan harian

 Mohd Fazli (tiga kanan) bersama pelajar PVMA mempamerkan antara produk yang berjaya dihasilkan.
PRODUK PELAJAR: Mohd Fazli (tiga kanan) bersama pelajar PVMA mempamerkan antara produk yang berjaya dihasilkan.

SANDAKAN: Sekumpulan pelajar Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan di sini mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan produk PVMA pada Sabtu.

Antara produk berkenaan termasuk sabun kecantikan, skrub, sabun pencuci pakaian, pelembut fabrik serta sabun pencuci pinggan dengan lingkungan harga jualan bermula dari RM6.90 hingga RM9.90.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mohd Fazli Abd Rozah.

Pengetua SMK Perempuan Teo Poo Siang berkata, sekolah itu telah mula mengajar subjek PVMA pada 2010 hingga 2015 dimana dua bidang ditawarkan pada ketika itu iaitu penjagaan muka dan dandanan rambut.

Selepas itu, sekolah berkenaan mengajar kecantikan estetik sehingga kini yang merangkumi beberapa bidang seperti rawatan muka, urutan serta penjagaan kuku (manicure dan pedicure).

Selain daripada kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar yang mengambil kursus ini juga ditawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2. Ini bermakna, mereka mempunyai kemahiran yang boleh membantu selepas tamat belajar nanti. Selepas SPM, mereka juga boleh menyambung pelajaran dalam bidang sama bagi mendapatkan SKM Tahap 3 dan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit PVMA Siti Rohani Kassim berkata perlu ada satu anjakan dalam subjek itu bagi membuatkan mereka menjalankan satu aktiviti untuk menghasilkan beberapa produk seperti sabun kecantikan serta sabun pencuci pinggan dan baju.

Katanya, selain daripada untuk mengisi masa dalam pembelajaran, para pelajar juga boleh menjana pendapatan sampingan.

Di samping memberi pendedahan kepada pelajar, kita juga ingin memberi perangsang yang mereka mempunyai pilihan lain sekiranya tidak dapat menyambung pelajaran dalam bidang akademik. Pada masa sama, kita ingin meningkatkan keyakinan diri mereka,” jelasnya.

Sementara itu, para pelajar PVMA yang ditemui amat berbangga dengan kejayaan menghasilkan produk berkenaan di bawah bimbingan guru-guru.

Produk berkenaan yang dihasilkan di sekolah berkenaan, kini turut dijual di Pasar Malam Kim Fung pada setiap Sabtu.