Anda di sini

Geely ambil alih pemilik Mercedes Benz

Advertisement

Proton kini sebahagian daripada kumpulan kenderaan global dengan teknologi maju

KUALA LUMPUR: Pembelian kepentingan dalam Proton Holdings Bhd oleh Zhejiang Geely Holdings Group terbukti amat positif berikutan pengeluar kereta nasional itu kini dapat memanfaatkan teknologi maju kenderaan berdasarkan pengambilalihan kumpulan dari China itu ke atas Daimler AG, pemilik jenama Mercedes Benz pada bulan lepas.

 Terdapat prospek bagi perkongsian teknologi kereta elektrik berikutan Proton telah menjadi sebahagian daripada kumpulan kenderaan dengan teknologi maju dan berpotensi untuk mencatat keuntungan.

 Ini termasuk jenama antarabangsa seperti Daimler, Mercedes Benz, kereta dan trak Volvo, Lotus dan London Taxi Cabs.

 Geely membeli Daimler berikutan ia dalam usaha untuk membina kereta elektrik bagi memenuhi standard pelepasan China yang sukar dan menghasilkan kereta cekap tenaga.

 Dan apa cara yang lebih baik untuk meningkatkan kecekapan dan menghasilkan kereta elektrik daripada mengambil alih pengeluar kereta terkemuka yang telah dilakukannya.

 Geely yakin teknologi moden akan memacu kumpulan itu untuk berkembang menjadi syarikat gergasi dari segi teknologi setanding Google, Uber dan menetapkan sasaran untuk muncul sebagai pengeluar kenderaan dengan teknologi maju.

 Dengan teknologi sedemikian, syarikat China itu boleh memberi cabaran kepada pengeluar kereta lain.

 Oleh itu, jelas hasrat untuk memiliki teknologi maju kenderaan telah mendorong mereka untuk membeli dan memiliki Mercedes Benz.

 Bagi pembelian Volvo oleh Geely pada 2010, ia membuktikan keupayaan Geely untuk memulihkan pengeluar kereta terkenal dari Sweden itu.

 Selepas melihat evolusi Volvo dan perkembangan sebagai pengeluar kereta sejak dari awal, penganalisis dalam bidang automotif menyifatkan kereta Volvo hari ini sebagai ‘lebih seksi’, dengan input daripada Geely.

 Sehubungan itu, persoalan yang mengejutkan adalah sebab mereka turut memilih untuk membeli 49.9 peratus kepentingan dalam Proton.

 Walaupun pembeli berpotensi lain mungkin telah terlepas, Geely dapat mengenal pasti kepentingan strategik dan potensi untuk mengambil alih pengeluar kereta nasional Malaysia itu.

 Mereka ternyata telah melakukan ‘kerja rumah’ dan mereka tidak akan memeterai sebarang perjanjian secara membuta tuli.

 Oleh itu, siapa kita untuk mempersoalkan jika syarikat yang membeli pengeluar kereta dari Sweden, Volvo, membeli saham dalam Mercedes Benz, dan LEVC, pengeluar teksi hitam di London, atas dasar kepentingan strategik mereka, turut mempunyai keyakinan yang sama terhadap Proton.

 Ini mengukuhkan Geely sebagai kumpulan kenderaan global yang profesional dan mengambil alih Proton dengan kepercayaan kukuh bahawa ia akan dapat menjana keuntungan yang menarik pada masa akan datang.

 Berdasarkan kedudukan mereka di peringkat global dan kejayaan memulihkan syarikat gergasi kereta lain, rakyat Malaysia tidak seharusnya terlalu negatif mengenai cara syarikat itu beroperasi untuk membolehkan syarikat kembali mencatat keuntungan.

 Penganalisis berkata orang luar kelihatan lebih mempunyai kepercayaan terhadap Proton berbanding rakyat Malaysia, dan Geely perlu diberi peluang untuk membuktikannya dalam Proton.

 Kita perlu ingat bahawa kilang Proton di Tanjung Malim, pada masa ini menghasilkan pengeluaran di bawah kapasiti.

 Geely menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kepada 400,000 kereta dalam tempoh 10 tahun untuk menembusi pasaran domestik, serantau dan global.

 Berdasarkan pertumbuhan yang disasarkan itu, selain evolusi industri kereta global, penting bagi ekosistem dan infrastruktur Proton, termasuk vendor, untuk menyokong usaha ini.

 Jika tidak, Proton akan ketinggalan jauh seperti yang berlaku sekarang.

 Bagi kilang di Tanjung Malim yang menghasilkan pengeluaran di bawah kapasiti, ia merupakan pembaziran dari segi sumber dan kapasiti pengeluarannya.

 Oleh itu, tidak mengejutkan apabila antara perkara pertama yang dilakukan oleh Geely selepas membeli kepentingan dalam Proton, ia mencari punca ‘pembaziran’ walaupun mengetahui kilang tersebut mempunyai potensi yang besar.

 Prasyarat penting yang membolehkan Proton mencapai kapasiti pengeluaran sebanyak 400,000 atau malah, sejuta unit adalah ia perlu mempunyai pasaran.

 Walaupun sebuah syarikat yang agak baharu, Geely bukan ‘orang baharu’ apabila mengenai pengalaman pemasaran dan idea baharu.

 Jelas dapat melihat bagaimana agresif syarikat tersebut dalam industri automotif global sehingga mengejutkan Mercedes Benz dan Daimler AG.

 Geely tahu apa yang dilakukannya.

 Vendor Bumiputera, jurujual dan pengendali pusat servis perlu mengambil tahu mengenai persaingan sengit dalam industri automotif global.

 Penting bagi mereka untuk menaik taraf kepada pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan semburan cat) supaya mendapat manfaat daripada usaha Geely untuk mewujudkan infrastruktur bagi pembekalan komponen kereta pada harga yang kompetitif.

 Vendor juga akan mendapat manfaat daripada Proton yang meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 400,000 kereta dan memasuki pasaran serantau susulan wujud potensi.

 Proton dijangka mendapat manfaat daripada sebarang pemindahan kepakaran teknologi daripada pengeluar kereta terkemuka dalam kumpulan Geely seperti Daimler dan Volvo.

 Mereka perlu menghargai dan menyokong apa yang dilakukan oleh syarikat dari China itu, iaitu menjadikan Proton sebagai sebuah jenama global yang amat berjaya dan menempatkan pengeluar kereta nasional itu kembali di grid global. — Bernama

Advertisement