Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka diniaga tinggi

Advertisement

Pasaran lebih baik berikutan ketegangan geopolitik global reda, harga komoditi pulih

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu ini, dengan indeks petunjuk pasaran mencecah paras 1,850, didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan ketegangan geopolitik global yang telah reda dan harga komoditi yang pulih.

 Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata terdapat kelegaan di pasaran selepas Presiden AS Donald Trump menerima jemputan untuk menemui pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un pada Mei.

 “Kita dapat melihat ketegangan yang semakin reda dalam ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan Amerika Syarikat dan ini merupakan kelegaan yang besar bagi peniaga dan pelabur di seluruh dunia.

 “Kita juga melihat pasaran komoditi kini pulih berdasarkan harga minyak global, getah dan minyak sawit mentah mula meningkat. Ini petanda yang baik,” katanya kepada Bernama.

 Pada Jumaat, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan 0.3 peratus lebih tinggi kepada AS$63.79 setong manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate meningkat 0.2 peratus kepada AS$60.24 setong.

 Di peringkat tempatan, Nazri berkata saham berkaitan pilihan raya seperti DRBHicom, Felda Global Ventures dan MRCB akan mendapat tarikan dalam masa terdekat berikutan pilihan raya dikatakan semakin hampir.

 “Saya fikir ini merupakan pemangkin yang sesuai bagi pasaran mengukuh,” katanya.

 Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI ditutup 12.15 mata lebih rendah kepada 1,843.92 daripada 1,856.07 sebelum ini.

 Indeks FBM Emas turun 205.01 mata kepada 12,968.94, Indeks FBMT100 susut 181.55 mata kepada 12,711.9 dan Indeks FBM Emas Syariah jatuh 249.84 mata kepada 13,122.51.

 FBM 70 berkurangan 555.21 mata kepada 15,423.27 dan FBM Ace merosot 182.81 mata kepada 5,971.86.

 Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 33.59 mata kepada 3,181.86, Indeks Perladangan turun 35.83 mata kepada 8,044.16 dan Indeks Kewangan jatuh 235.33 mata kepada 17,992.74.

 Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.94 bilion unit bernilai RM12.43 bilion daripada 14.37 bilion unit bernilai RM14.20 bilion.

 Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 7.77 bilion saham bernilai RM11.62 bilion daripada 9.22 bilion saham bernilai RM13.30 bilion.

 Jumlah dagangan waran jatuh kepada 2.35 bilion unit bernilai RM354.6 juta daripada 2.44 bilion unit bernilai RM439.50 juta.

 Pasaran ACE naik kepada 2.8 bilion saham bernilai RM435.93 juta daripada 2.67 bilion saham bernilai RM441.25 juta. — Bernama

Advertisement