Anda di sini

Banjir, tanah runtuh ancam pelarian Rohingya di kem selatan Bangladesh

Advertisement
 Gambar fail 11 Februari lalu menunjukkan seorang wanita berjalan menaiki bukit di kem Kutupalong untuk pelarian Rohingya di selatan Bangladesh. — Gambar Reuters
SURAM: Gambar fail 11 Februari lalu menunjukkan seorang wanita berjalan menaiki bukit di kem Kutupalong untuk pelarian Rohingya di selatan Bangladesh. — Gambar Reuters

KEM PELARIAN CHAKMAKUL: Pelarian Rohingya yang tinggal dalam teratak yang dibina di atas bukit curam yang gondol di selatan Bangladesh berdoa agar beg pasir yang mengukuhkan lereng bukit dapat bertahan pada musim tengkujuh yang akan datang.

Ia menjadikannya lebih selamat tetapi ia tidak akan bertahan jika hujan amat lebat,” kata Mohammed Hares, 18. Lumpur padat di mana terataknya dibina sudah menunjukkan tanda kerekahan.

Hampir 700,000 orang Muslim Rohingya sudah pergi ke Bangladesh sejak Ogos lalu untuk lari daripada operasi ketenteraan di negara jiran Myanmar. Kebanyakan mereka sekarang tinggal dalam struktur buluh dan plastik yang tidak teguh dan dibina di atas bukit yang dahulu diliputi hutan.

Bangladesh selalu dibadai taufan, dan kem Rohingya dikelompokkan di bahagian negara yang mencatatkan hujan tertinggi. Model komputer yang dibuat oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menunjukkan bahawa lebih 100,000 pelarian akan diancam tanah runtuh dan banjir pada musim tengkujuh akan datang.

Hujan biasanya mula turun pada April dan memuncak pada Julai, menurut Jabatan Meteorologi Bangladesh.

Di Kutupalong-Balukhali, kem sementara terbesar, sehingga satu pertiga tanah di sana boleh ditenggelami banjir, menyebabkan lebih 85,000 pelarian kehilangan tempat tinggal, menurut UNHCR. Seramai 23,000 pelarian lain tinggal di lereng bukit yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh.

UNHCR, Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Program Makanan Sedunia menggunakan jentolak untuk meratakan 123 ekar di kem utara Kutupalong-Balukhali dalam usaha untuk memastikan kawasan itu lebih selamat, kata jurucakap UNHCR Caroline Gluck.

IOM meletakkan peralatan membuang puing dan kru kerja di seluruh kem, katanya, dan cuba memperbaiki jalan dan menstabilkan lereng bukit. Ia turut menubuhkan pusat rawatan cirit-birit kecemasan dan menyediakan latihan bantuan kecemasan selain latihan mencari dan menyelamat.

Setiausaha Pengurusan Bencana Bangladesh Shah Kamal berkata kerajaan bekerja sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memindahkan 133,000 orang yang tinggal dalam kawasan berisiko tinggi. Ia turut melancarkan sebuah stesen radio bahasa Rohingya yang akan bertindak sebagai sistem amaran bencana alam, katanya.

Pegawai kerajaan Bangladesh sebelum ini juga memberitahu Reuters mereka akan meneruskan rancangan kontroversi untuk mengubah sebuah pulau tanpa penghuni di Teluk Bengali menjadi tempat tinggal sementara bagi masyarakat Rohingya dan memindahkan 100,000 pelarian ke sana sebelum musim tengkujuh tiba.

Banjir meningkatkan lagi risiko wabak penyakit. Ia juga boleh mengancam akses kepada kemudahan perubatan, menjadikannya sukar untuk sampai ke sana dan mengganti stok. Tandas, bilik mandi dan telaga tiub mungkin juga akan ditenggelami banjir.

Risiko tanah runtuh diburukkan lagi oleh keluarga pelarian yang memerlukan kayu api untuk memasak. Pokok ditebang untuk memberi laluan kepada pelarian, yang turut menggali akar untuk dijadikan kayu api, menjadikan lereng bukit lebih lemah lagi dan cenderung untuk runtuh.

Ini adalah hutan ketika saya pertama kali tiba,” kata Arafa Begum, 40, yang tinggal bersama tiga anaknya dalam sebuah teratak di atas lereng yang tandus dan menggayatkan di kem Chakmakul.

Dia berkata dia mahu berpindah sebelum musim tengkujuh tiba tetapi terpaksa menunggu arahan daripada ‘majhi’ atau ketua blok. — Reuters

Advertisement